Sabtu, 30 March 2024 | 8:30am
Che Sabri menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi
Che Sabri menyiapkan tempahan pelanggan. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Tidur 4 jam sehari rutin setiap kali Ramadan

MACHANG: Berbaki kurang dua minggu sahaja lagi, umat Islam akan menyambut Aidilfitri dan tukang jahit antara individu paling sibuk kerana perlu memastikan semua tempahan pelanggan disiapkan sebelum 1 Syawal.

Che Sabri Che Jaafar, 54, berkata, dia kini giat menyiapkan tempahan baju Melayu, kurta, dan jubah lelaki sehingga terpaksa bersengkang mata bagi memastikan baju ditempah pelanggan siap mengikut masa ditetapkan.

Katanya, waktu tidurnya kini hanya empat jam sehari dan ia sudah menjadi rutin setiap kali tiba Ramadan dan apabila Syawal kian menjelma.

"Saya sudah menutup tempahan pada akhir Januari lalu kerana bimbang tidak dapat memenuhi permintaan yang tinggi disebabkan tidak mempunyai pekerja dan hanya dibantu isteri, Afyny Mohd Hassan, 22.

"Sebagai tukang jahit walaupun keletihan namun saya berasa seronok kerana Ramadan disifatkan waktu menerima 'bonus tahunan' kerana tempahan meningkat berkali ganda berbanding biasa," katanya ketika ditemui di kedai jahitnya di Pulai Chondong.

Che Sabri yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dan memiliki kedai jahit di Pulai Chondong berkata, kebanyakan pelanggan lebih gemar menempah baju dengan tukang jahit walaupun terdapat banyak koleksi baju Melayu, jubah dan kurta yang siap dijual disebabkan mereka amat mementingkan keselesaan serta menginginkan kualiti yang terbaik.

"Pada Ramadan kali ini, saya menerima kira-kira 50 tempahan baju Melayu, jubah dan kurta.

"Jika diikutkan masih ada pelanggan yang hendak menghantar baju untuk dijahit, namun saya terpaksa mengehadkannya kerana menjaga mutu jahitan agar semua tempahan dapat disiapkan sebelum lebaran dan dalam masa sama ada tempahan baju uniform yang perlu disiapkan," katanya.

Katanya, harga upah bagi sepasang baju Melayu berharga RM120 dan kurta di antara RM70 hingga RM80 manakala jubah pula RM100 bergantung kepada potongan serta fesyen yang diinginkan pelanggan.

"Kebanyakan pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja tangan saya dan mereka yang datang menghantar tempahan baju untuk dijahit bukan sahaja di sekitar Machang, malah adadari Kota Bharu, Kuala Krai dan beberapa daerah lain," katanya.

Berita Harian X