Jumaat, 29 March 2024 | 10:48am
Anggota Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadam kebakaran di kawasan sekitar tapak pelupusan Kayu Madang. - Foto BERNAMA
Anggota Bomba dan Penyelamat bertungkus lumus memadam kebakaran di kawasan sekitar tapak pelupusan Kayu Madang. - Foto BERNAMA

Kebakaran tapak pelupusan kayu Madang hampir dipadam sepenuhnya - Bomba

KOTA KINABALU: Kebakaran di tapak pelupusan Kayu Madang di sini hampir dipadam sepenuhnya apabila lebih 97 peratus kawasan dapat dikawal dalam operasi yang memasuki hari kelima setakat semalam.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Ordine Gilu, berkata dalam operasi semalam, pihaknya menjalankan kerja memadam kebakaran di kawasan seluas 10,287 meter persegi dan bagi memudahkan operasi, kawasan itu dipecahkan kepada empat sektor.

Beliau berkata, luas kebakaran berbaki 1,257.3 meter persegi iaitu sektor D sudah dipadamkan sepenuhnya, sektor C (95 peratus), sektor B pada tahap 99 peratus dan sektor A (95 peratus).

"Kebakaran membabitkan sisa pembuangan tayar terpakai di tapak pelupusan sampah berkenaan yang berkeluasan 45,700 meter persegi.

"Operasi pemadaman hari kelima menggunakan peralatan Fix Monitor Fire Fighting bersama jentera High Performance Pump Module dengan mengambil sumber air terbuka dan pemadaman menggunakan sebanyak 14 tong buih pemadam kebakaran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, 41 pegawai serta anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran serta dibantu beberapa BBP lain antaranya dari Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah, sedang bertungkus lumus menjalankan operasi pemadaman.

Ordine berkata, pihaknya turut menggunakan tanah untuk menimbus kawasan terlibat membabitkan lebih 1,200 lori penghantaran sejak hari pertama. - BERNAMA

Berita Harian X