Khamis, 28 March 2024 | 12:40pm
Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepoada Kerajaan Perpaduan.
Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepoada Kerajaan Perpaduan.

Kekal status quo, 6 Ahli Parlimen BERSATU belum terima surat tunjuk sebab

KUALA LUMPUR: Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan belum menerima apa-apa surat tunjuk sebab susulan kelulusan pindaan perlembagaan parti itu berkaitan berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal sekali gus mengesahkan tiada perubahan berlaku pada status mereka sebagai ahli parti dan juga Ahli Parlimen.

"Hingga hari ini, kami belum terima apa-apa surat tunjuk sebab, dan kami kekal status qou... tiada apa-apa yang berubah (dengan status kami)," katanya sebagai mewakili kelompok enam Ahli Parlimen terbabit.

Selain Syed Abu Hussin, lima lagi Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan adalah Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Pada 2 Mac lalu, BERSATU melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) meminda perlembagaan parti itu bagi membendung wakil rakyatnya daripada memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan membabitkan tiga perkara di bawah Fasal 10 yang berkaitan hal-hal pemberhentian dan pemecatan ahli parti iaitu dengan memasukkan tambahan Fasal 10.4, 10.5 dan 10.6.

Pindaan dibuat selepas enam Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terkini, Ahli Dewan Undangan Negeri parti itu, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) turut memberi dukungan sama kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Syed Abu Hussin berkata beliau bersama lima rakan Ahli Parlimen berkenaan tidak akan menarik kembali sokongan diberikan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

"Kami akan terus beri sokongan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri.

"Sokongan kami kepada Perdana Menteri hanya untuk mengukuhkan pentadbiran Persekutuan dan membolehkan beliau terus membangunkan negara.

"Kami yakin dengan keputusan yang sudah kami buat dan tak akan sesekali berundur," katanya.

Kenyataan Wan Saiful sekadar perang saraf

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Abu Hussin berkata, kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa beliau ditawarkan pelbagai ganjaran untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri hanyalah sekadar 'perang saraf' untuk menghalang lebih ramai Ahli Parlimen BERSATU mengisytiharkan sokongan mereka kepada kerajaan perpaduan.

Wan Saiful katanya, sepatutnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa untuk menyokong dakwaannya.

Menurutnya dengan ketiadaan bukti bagi menyokong dakwaan Wan Saiful itu, tindakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sekadar percubaan untuk mempolitikkan isu demi kepentingan BERSATU.

Bagaimanapun, setakat ini beliau dan ahli parlimen lain yang sudah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri tiada rancangan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Saiful.

Pada persidangan Dewan Rakyat 21 Mac lalu, Wan Saiful mendakwa dua Ahli Parlimen membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongannya kepada kerajaan.

Dua Ahli Parlimen berkenaan adalah Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi serta tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.

Beliau mendakwa dua ahli parlimen bersama tiga individu itu membuat tawaran untuk memberikan peruntukan Parlimen, peruntukan projek bernilai RM2 juta, bayaran kos perubatan isteri beliau, kos guaman peruntukan di mahkamah dan 'token' yang tidak dinyatakan nilainya serta pengguguran kes di mahkamah.

Mohd Azizi sejak itu menafikan dakwaan Wan Saiful yang digambarkan sebagai percubaan untuk mencemarkan imej dan reputasinya.

Sementara itu, Zulkafperi, telah mengemukakan satu usul untuk merujuk Wan Saiful kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen.

Berita Harian X