Rabu, 27 March 2024 | 12:58pm
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

PAC mula prosiding LTAT, NIISe selepas Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membangkitkan kebimbangan mengenai kebanyakan isu yang disiasat jawatankuasa itu yang dikesan masih mempunyai elemen kelemahan berulang.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, antaranya termasuk proses pembangunan sesuatu projek dimulakan terlebih dahulu meskipun kontrak belum dimuktamadkan.

Selain itu, PAC juga bimbang dengan kelewatan pelaksanaan projek berpunca daripada pemilihan kontraktor yang tidak cekap serta kelemahan dalam memantau pengurusan projek.

Bagaimanapun, beliau berkata PAC berpendapat tindakan korektif diambil pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan segala isu berbangkit seharusnya dipuji.

Namun, katanya PAC berpendapat lebih elok sekiranya semua projek dilaksanakan secara teratur tanpa sebarang masalah supaya rakyat dapat menikmati manfaatnya.

Bercakap pada sidang media di Parlimen hari ini, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah memaklumkan, sepanjang Mesyuarat Pertama Sidang Dewan Rakyat kali ini, PAC berjaya membentangkan tujuh laporan hasil prosiding dijalankan.

"Secara keseluruhan saya boleh membuat rumusan berdasarkan tujuh laporan PAC ini, kerajaan perlu terus berusaha bagi memastikan pengurusan kewangan negara, terutama sekali daripada kontrak, perolehan dan keutamaan projek yang dilaksanakan diberikan perhatian," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAC akan memulakan dua prosiding baharu selepas Aidilfitri membabitkan isu berkaitan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan yang terbaru diputuskan iaitu isu Pembangunan dan Perolehan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).

Prosiding LTAT, katanya akan bermula 20 Jun depan susulan isu dilaporkan mengenai lembaga itu dalam Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022.

Bagi prosiding NIISe di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen pula, ia akan dilaksanakan di bawah Peraturan Mesyuarat 77(1)(d), iaitu prosiding yang diadakan atas apa-apa perkara lain yang difikirkan Jawatankuasa itu patut diperiksa, yang membabitkan kepentingan awam.

Mas Ermieyatie berkata, antara sebab utama PAC membuat keputusan untuk memulakan prosiding NIISe adalah jawatankuasa itu terkesan dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar RM231.5 juta kepada sebuah syarikat atas penamatan kontrak bagi projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN), yang kini dikenali sebagai NIIse.

"Bagi prosiding ini, PAC menyediakan Terma Rujukan (TOR) yang akan diserahkan KDN dan Jabatan Imigresen sebagai persediaan untuk menyediakan maklumat berkaitan.

"Selain KDN dan Jabatan Imigresen, antara saksi lain akan dipanggil ialah Kementerian Ekonomi, Unit Pemodenan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Cybersecurity Malaysia dan vendor berkaitan sistem ini, termasuk SKIN," katanya.

Pada 14 Mac lalu, media melaporkan, Awanbiru Technology Bhd (Awantec) yang sebelum ini dikenali sebagai Prestariang Bhd memenangi saman undang-undang terhadap kerajaan berhubung penamatan projek SKIN bernilai RM3.5 bilion.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Awantec berkata Mahkamah Tinggi memihak kepada anak syarikat milik penuhnya, Presaring Skin Sdn Bhd (PSKIN) dan memerintahkan kerajaan membayar jumlah penghakiman RM231.55 juta, serta kos guaman yang ditanggung oleh PSKIN semasa proses litigasi.

Da;am kes berkaitan LTAT pula, Mas Ermieyati sebelum ini memaklumkan, PAC akan memanggil bekas pengurusan tertinggi lembaga itu dalam prosidingnya, iaitu bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Dayana Rogayah Omar.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, sebanyak tiga prosiding PAC sudah selesai tetapi masih belum dibentangkan iaitu isu FELCRA Berhad, Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp serta Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar.

Selain itu, dua prosiding masih berlangsung dan akan disambung selepas Aidilfitri adalah isu Pengurusan Penanaman Padi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan isu Pengurusan Pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) di bawah Kementerian Kerja Raya.

Berita Harian X