Selasa, 26 March 2024 | 4:38pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, ketika hadir pada Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini. - BERNAMA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memeluk Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, ketika hadir pada Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini. - BERNAMA

'Teknologi bukan penghalang penerbitan buku Melayu disemarakkan'

KUALA LUMPUR: Perkembangan teknologi yang memberi kesan besar terhadap industri penerbitan buku termasuk penutupan kedai buku, tidak wajar merencatkan usaha menyemarakkan kembali penerbitan buku bahasa Melayu di negara ini.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Jeniri Amir, menggesa pihak berkepentingan meneruskan pembangunan industri penerbitan buku bahasa Melayu secara usaha sama.

Katanya, usaha sama antara penerbit, penulis dan masyarakat penting untuk memastikan kelangsungan serta kemajuan budaya literasi dalam bahasa Melayu di Malaysia.

Katanya, ekosistem bersesuaian amat penting untuk menggalakkan industri penerbitan buku di negara ini.

"Ekosistem yang memberangsangkan perlu diwujudkan supaya semua pihak dan pemegang taruh terbabit dapat berperanan, sekali gus memperoleh manfaat daripadanya.

"Mempertemukan semua pihak terbabit untuk membahaskan isu dan masalah dalam dunia penerbitan buku di negara ini bukanlah hal yang mustahil.

"Mencipta dan mewujudkan ekosistem yang sihat memerlukan peranan aktif seluruh pemegang taruh industri buku merangkumi penulis, editor, pereka bentuk buku, pencetak, pengedar, penjual buku dan pembaca buku itu sendiri," katanya pada sesi perbincangan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di DBP di sini, hari ini.

Sesi perbincangan itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar manakala tiga ahli panel yang lain adalah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohd Anuar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari dan Pengarah Pembangunan Koleksi, Perpustakaan Negara (PNM), Aidatul Hasnida Abdul Rani.

Seminar dua hari itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Jeneri berkata, perkembangan teknologi besar kesannya besar terhadap industri penerbitan buku seperti penerbitan digital, penerbitan kendiri, Kindle dan buku audio yang memecahkan model perniagaan buku tradisional.

Katanya, teknologi digital membuka pintu kepada penerbitan buku digital dalam bahasa Melayu, sejajar gelombang perubahan dalam bidang teknologi.

"Buku elektronik atau e-buku memberikan peluang kepada penerbit mengeluarkan karya dalam format yang mudah diakses melalui peranti elektronik seperti telefon pintar, tablet, dan pembaca e-buku.

"Hal ini memberi keselesaan kepada pembaca dalam memperoleh dan membaca buku berbahasa Melayu di mana sahaja.

"Pelbagai platform penjualan buku dalam talian seperti Amazon Kindle, Google Play Books dan platform tempatan seperti Bookurve dan BukuFixi juga membuka pasaran lebih luas bagi buku berbahasa Melayu," katanya.

Penggunaan teknologi, katanya, membolehkan penerbit tempatan menjual buku mereka di seluruh dunia tanpa batasan fizikal kedai buku.

"Pemasaran berkesan penting untuk memastikan buku yang diterbitkan diketahui kemunculannya oleh pembaca.

"Karya yang baik tidak menjamin kejayaan dalam pasaran jika penerbit tidak kreatif dan agresif dalam pemasaran dan mempromosikan buku," katanya.

Berita Harian X