Selasa, 26 March 2024 | 4:31pm
Qi Xian menerima biasiswa daripada Yayasan Perak yang dimanfaatkan untuk pembiayaan yuran tuisyen. - Foto ihsan Yong Qi Xian
Qi Xian menerima biasiswa daripada Yayasan Perak yang dimanfaatkan untuk pembiayaan yuran tuisyen. - Foto ihsan Yong Qi Xian

Manfaat biasiswa Menteri Besar biaya yuran tuisyen STPM

IPOH: Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Tasek, di sini, memanfaatkan Biasiswa YAB Menteri Besar yang diterima, untuk mengikuti kelas tuisyen sebagai sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

Yong Qi Xian, 20, menggunakan biasiswa bernilai RM1,200 yang diterimanya pada Disember lalu, bagi membayar yuran kelas tuisyen dan membeli bahan rujukan kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya.

Pelajar Semester 3 Tingkatan 6 Atas itu, berkata beliau memohon biasiswa itu melalui pihak sekolah yang menerima surat tawaran daripada Yayasan Perak pada 29 November tahun lalu.

"Biasiswa itu banyak membantu saya sebab keluarga saya memang menghadapi sedikit masalah kewangan kebelakangan ini. Malah, saya pernah berbincang dengan emak untuk kurangkan tuisyen.

"Emak saya bekerja sebagai kerani kedai, manakala ayah hanya jurujual kecil-kecilan, namun mereka sentiasa menitikberatkan pelajaran saya dan adik yang kini berada di Tingkatan 4.

"Jadi, sebaik sahaja mendapat wang biasiswa itu, saya terus menggunakannya untuk membayar yuran tuisyen," katanya kepada BH.

Qi Xian yang mengikuti aliran pengajian sains sosial berkata, sasarannya selepas STPM adalah untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pengurusan serta perakaunan bagi mencapai cita-cita menjadi usahawan berjaya.

"Pada Semester 1, saya memperoleh CGPA (Purata Nilai Gred Kumulatif) 3.84 dan CGPA 3.50 pada Semester 2. Justeru, saya perlu mengekalkan 'momentum' keputusan yang baik bagi mencapai sasaran dan cita-cita itu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengakui, pelaksanaan inisiatif program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di sekolahnya, termasuk pemberian makan tengah hari percuma bernilai RM5 seorang selama 20 hari ketika sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen banyak membantunya meningkatkan pembelajaran.

"Saya berterima kasih diberikan Biasiswa YAB Menteri Besar Perak dan menerima inisiatif TCS kerana ia sekali gus membantu saya untuk membuat persediaan peperiksaan STPM nanti," katanya yang juga salah seorang daripada lima penerima awal Biasiswa YAB Menteri Besar Perak bagi calon SPM 2023.

Biasiswa Menteri Besar Perak yang diperkenalkan sejak 2019 sudah memberi manfaat kepada seramai 5,846 murid sekolah rendah dan menengah.

Bantuan dalam bentuk biasiswa secara 'one off' itu membabitkan jumlah keseluruhan RM6.13 juta setakat Februari lalu, yang mana ia juga adalah satu daripada 10 inisiatif program TCS.

Menerusi Belanjawan Perak 2024, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak memperuntukkan RM1 juta kepada 418 murid yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), 74 murid Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan 261 murid STPM.

Kadar biasiswa adalah RM1,000 bagi SPM, manakala RM1,200 bagi STAM dan STPM.

Penerima biasiswa itu dikenal pasti adalah bagi mereka yang memperoleh keputusan cemerlang dalam semester kedua dari kalangan keluarga kumpulan B40.

Biasiswa YAB Menteri Besar Perak diletakkan sebagai antara agenda menerusi 'flagship' Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat di bawah pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dengan Yayasan Perak diletakkan sebagai agensi yang menerajuinya.

Berita Harian X