Selasa, 26 March 2024 | 3:34pm
Koleksi buku Tafsir Maudhu'iy yang dipamer sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Wisma DBP. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN
Koleksi buku Tafsir Maudhu'iy yang dipamer sempena Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di Wisma DBP. - NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

Penerbitan buku secara konvensional masih relevan

KUALA LUMPUR: Penerbitan secara konvensional masih diperlukan dalam industri buku walaupun trend pembaca yang lebih berminat kepada e-buku menerusi gajet semakin meningkat.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr Hazami Jahari, berkata ia dapat dilihat menerusi pengekalan penerbitan buku secara konvensional oleh penggiat industri buku.

Katanya, sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) boleh dijadikan penanda aras untuk melihat pencapaian kaedah penerbitan konvensional masih diperlukan.

"PBAKL 2023 mencatat sambutan amat menggalakkan dalam kalangan pembaca muda ," katanya pada sesi perbincangan Seminar Kebangsaan Penerbitan Buku Berbahasa Melayu di DBP di sini, hari ini.

Sesi perbincangan dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar.

Turut serta dalam sesi perbincangan itu ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohd Anuar Ridhwan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Jeniri Amir dan Pengarah Pembangunan Koleksi, Perpustakaan Negara (PNM), Aidatul Hasnida Abdul Rani.

Hazami menegaskan, selaras trend pembaca yang lebih memihak kepada e-buku, DBP turut memberi tumpuan terhadap penerbitan secara digital.

Katanya, antara yang boleh dimanfaatkan melalui pendigitalan adalah usaha memasarkan buku konvensional secara dalam talian, selain penerbitan buku interaktif untuk bacaan kanak-kanak, penerbitan secara digital (PDF) dan e-Pub yang boleh dipasarkan secara dalam talian.

DBP, katanya melalui Bahagian Pemasaran dan Pengedaran turut menyediakan aplikasi DBPNiaga.com bagi penjualan buku konvensional

Hazami menjelaskan, mengikut laporan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), jumlah penerbitan buku sepanjang 2023 oleh semua penerbit di Malaysia mencecah 24,826 judul dengan cetakan 144,468 naskhah.

Katanya, jumlah itu berkurangan berbanding 2022 iaitu 33,312 judul dengan 174,947 naskhah cetakan.

"Jika dirujuk kepada 0.001 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, jumlah penerbitan semakin berkurangan sejak 2019, kecuali 2022 ketika pandemik COVID-19.

"Berdasarkan laporan dikeluarkan PNM, sebanyak 133,268 judul diterbitkan sepanjang lima tahun dan DBP menyumbang 2,482 judul baharu iaitu hanya 1.86 peratus.

"Pencapaian ini jauh ketinggalan dan usaha ke arah merancakkan industri perbukuan perlu dilipatgandakan di peringkat DBP," katanya.

Katanya, laporan PNM itu memberi isyarat perlu ada gerakan drastik untuk mencapai sasaran jumlah penerbitan buku seperti yang digariskan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke arah mencapai status negara maju.

Beliau berkata, pencapaian separuh penggal Pelan Strategik DBP 2021-2025 mencatat 2,020 judul buku diterbitkan secara fizikal, digital dan atau cetak ulang.

"Daripada 2,020 judul buku diterbitkan, sebanyak 628 judul am diterbitkan pada 2021 melebihi sasaran iaitu 509 judul, pada 2022 sebanyak 560 judul am diterbitkan yang melepasi sasaran 534 judul, manakala pada 2023, 832 judul am terbit juga melebihi sasaran 539 judul," katanya.

Berita Harian X