Selasa, 26 March 2024 | 3:21pm
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan. - Foto fail BERNAMA
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan. - Foto fail BERNAMA

Kerajaan laksana sesi libat urus menyeluruh untuk pindaan RUU355

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melaksanakan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan berkaitan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) dalam usaha memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata pada masa yang sama beberapa sesi libat urus dengan kerajaan negeri juga dibuat untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan yang dicadangkan.

"Untuk makluman, kita juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan kita doakan moga jawatankuasa ini dapat sediakan satu laporan, cadangan yang tuntas untuk tangani isu yang sekian lama ini.

"Oleh itu, diharap semua pihak bersabar dan beri ruang kepada jawatanankuasa khas ini untuk melaksanakan kajian, seterusnya mengesyorkan cadangan pindaan mereka terhadap semua (isu) yang berbangkit," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang ingin tahu tentang usaha yang telah dan akan dilakukan untuk memperkasa bidang kuasa selain menyeragamkan Mahkamah Syariah di seluruh negeri berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Zulkifli berkata cadangan pindaan yang dikemukakan oleh jawatankuasa khas itu akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan terlebih dahulu sebelum ia dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Menjawab soalan tambahan Wan Martina mengenai sesi libat urus antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung RUU355, Zulkifli memaklumkan sesi libat urus itu selesai dilaksanakan pada Disember lalu.

"Tetapi sekiranya ada negeri-negeri khusus (yang belum laksana sesi libat urus), maklumat itu boleh diserahkan pada kami untuk kami semak dan meneruskan sesi libat urus. Namun begitu, kita telah selesai libat urus dengan negeri-negeri.

"Pada waktu ini, jawatankuasa khas itu telah bermesyuarat secara mingguan dan telah membuat satu pelaporan awal kepada MKI. Saya ingin menegaskan secara umumnya bukan sahaja RUU355 yang akan dilaksanakan tetapi kerajaan juga merancang untuk meluluskan atau membentangkan RUU Akta Mahkamah Syariah," katanya.

Berita Harian X