Selasa, 26 March 2024 | 2:46pm
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. - Foto BERNAMA
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching. - Foto BERNAMA

Pastikan peranan J-KOM tidak bertindih - Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi akan memastikan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) memainkan peranan seperti ditetapkan dan tidak bertindih dengan tugas agensi lain di bawah kementerian itu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, turut meminta pembangkang supaya tidak terus mempersoalkan fungsi J-KOM yang ditubuhkan pada 1 Februari 2021, ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

"Ini bukan agensi baharu yang ditubuhkan. Semua ahli Parlimen yang berada di Dewan ini pernah jadi kerajaan.

"Jadi, janganlah tanya saya sama ada J-KOM, ketika Yang Berhormat berada dalam kerajaan ketika itu, adalah lidah parti politik, sama ada orang yang dilantik adalah lantikan kontrak kerana J-KOM ditubuh di sebelah sana (pembangkang) pada 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat, hari ini.

J-KOM adalah penjenamaan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), yang dipindahkan dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke Kementerian Komunikasi di bawah pentadbiran kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2023.

Matlamat J-KOM adalah mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat, iaitu bagi menyampaikan maklumat kerajaan yang tepat dan sahih kepada rakyat, selain mendengar suara dan maklum balas rakyat.

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan peranan J-KOM, sama ada ia menjadi lidah kerajaan dan parti politik serta berlaku pertindihan dengan peranan Jabatan Penerangan.

Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) turut mencadangkan supaya J-KOM dibubarkan.

Sementara itu, menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai perkembangan siasatan ke atas bekas Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkaitan dakwaan melakukan gangguan seksual, Nie Ching berkata, pertanyaan itu perlu dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Apabila Ketua Pengarah J-KOM letak jawatan, kami tidak terbabit dalam apa-apa siasatan terhadapnya," katanya.

Berita Harian X