Selasa, 26 March 2024 | 8:01am
Mohamed Hafizul Mohamed, 28 (kanan), Mohamad Faiz Zaidi,29 (kiri) dan Muhammad Farizie Noor Azmi, 32 (tengah) menunjukkan air balang 'abam hensem' ketika ditemui di Bazar Ramadan Lembah Sireh. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamed Hafizul Mohamed, 28 (kanan), Mohamad Faiz Zaidi,29 (kiri) dan Muhammad Farizie Noor Azmi, 32 (tengah) menunjukkan air balang 'abam hensem' ketika ditemui di Bazar Ramadan Lembah Sireh. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Gerai air balang 'Abang Hensem' paling bersih

KOTA BHARU: Mempertaruhkan wajah yang menarik dan menu air yang banyak menjadi tuah buat sekumpulan anak muda yang berniaga air balang di bazar Ramadan di sini.

Menggunakan nama air balang 'abam hensem', mereka sudah menjual lebih 15,000 bungkus air sehingga kini.

Peniaga, Mohamad Faiz Zaidi, 29, berkata, sebanyak 11 jenis air balang dijual di gerai mereka yang dibuka di dua lokasi iaitu bazaar Ramadan Lembah Sireh dan bazaar Ramadan Stadium Sultan Muhammad ke IV (SSMIV), di sini.

Katanya, dia bersama 10 lagi rakan terdiri daripada anak-anak muda berusia antara 18 hingga 37 tahun termasuk dua rakan baik, Muhammad Farizie Noor Azmi, 32 dan Mohamed Hafizul Mohamed, 28, mengusahakan air balang sejak dua tahun lalu.

"Kami guna nama Abam Hensem memandangkan semua pekerja lelaki jadi perkataan 'hensem' tu sinonim dengan lelaki untuk tarik perhatian pelanggan.

"Setiap hari, kami mampu menjual air lebih 500 bungkus dalam bekas plastik dan gelas," katanya ketika ditemui di bazar ramadan Lembah Sireh, di sini.

Mohamad Faiz berkata, antara jenis air yang dijual adalah raja kasturi, koktail, oren lemonade, fruity tropical dan keladi.

Katanya, kebanyakan menu air adalah berkonsepkan minuman detoks dan menu tular yang kemudian diubahsuai mengikut permintaan pasaran.

"Kami akan cuba menu yang 'trending' dan turut memakai baju dan menghias gerai dengan kain 'scallop' berwarna merah jambu serta hiasan bunga-bungaan bagi meyerlahkan gerai kami," katanya.

Beliau berkata, mereka memperuntukkan masa dua jam untuk menyiapkan 11 jenis air balang dan biasanya habis terjual dalam tempoh dua ke tiga jam.

Mohamad Faiz berkata, dia menjual air balang hanya di bulan puasa selain pekerjaan hakiki sebagai perunding perkahwinan sejak 12 tahun lalu.

Lebih membanggakan, gerai mereka turut menerima anugerah gerai terbersih bagi kategori minuman sempena Pelancaran Walkabout Kempen Keselamatan Makanan di Bazar Ramadan peringkat Negeri Kelantan 2024.

Berita Harian X