Isnin, 25 March 2024 | 2:22pm
 Kesan serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza semalam. - Foto AFP
Kesan serangan Israel ke atas Rafah di selatan Gaza semalam. - Foto AFP

Malaysia gesa masyarakat antarabangsa desak Israel patuh keputusan ICJ

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel mematuhi keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bagi menghentikan genosid di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia susulan keputusan ICJ pada 26 Januari lalu, mengarahkan Israel menghentikan pembunuhan beramai-ramai, selari pendirian dan perjuangan Malaysia dalam isu Palestin.

Beliau antara lain mengulangi gesaan supaya gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan diberikan tanpa sekatan bagi menamatkan bencana kemanusiaan dihadapi rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

"Malaysia juga memperjuangkan isu Palestin daripada sudut perundangan dengan menyertai prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ dengan mengemukakan Kenyataan Bertulis pada 25 Julai 2023.

"Seterusnya, saya sendiri sudah membentangkan Kenyataan Lisan Malaysia di Sesi Pendengaran Awam berkaitan di ICJ, The Hague pada 22 Februari lalu.

"Ia menggesa dasar dan amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin yang melanggar undang-undang antarabangsa disamping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri.

"Malaysia juga menyeru semua negara tidak berkompromi tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas Wilayah Palestin, disamping menekankan kewajipan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan tanggungjawabnya menyelesaikan isu Palestin," katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai perancangan susulan kerajaan membantu dan menyokong tuduhan genosid terhadap Israel pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, penyertaan dalam prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ itu penting bagi Malaysia untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran.

"Ia bagi mempertahankan hak kemanusiaan Palestin, selain memperjuangkan supaya Palestin dapat menjadi negara merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Malaysia memberi sokongan penuh kepada usaha Afrika Selatan mengheret Israel ke ICJ berhubung pencabulan terhadap kewajipannya di bawah Konvensyen Genosid 1948, pada 29 Disember lalu.

Konvensyen Genosid diluluskan Perhimpunan Agung PBB pada 9 Disember 1948 untuk ditandatangani dan diratifikasi negara anggota.

"Malaysia menyertai Konvensyen Genosid pada 1994. Sehingga April 2022, sebanyak 153 negara meratifikasi konvensyen berkenaan.

"Konvensyen ini antara lain menjelaskan jenayah dikategorikan sebagai genosid dan meletakkan obligasi oleh negara anggota untuk mencegah jenayah terbabit.

"Malaysia pada 6 Disember lalu, menyokong usaha Setiausaha Agung PBB mengguna pakai Artikel 99 Piagam PBB, membenarkan beliau membawa perkara yang mengancam keamanan dan keselamatan antarabangsa ke Majlis Keselamatan PBB.

"Kali terakhir Artikel ini digunakan adalah pada 1989," katanya yang juga Ahli Parlimen Rembau dan Timbalan Presiden UMNO.

Berita Harian X