Isnin, 25 March 2024 | 1:10pm
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Foto fail BERNAMA
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul. - Foto fail BERNAMA

'Hukuman berat cuba pengaruhi pembangkang sokong kerajaan'

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata beliau akan memastikan hukuman berat dikenakan kepada ahli Parlimen yang didapati bersalah dalam isu dakwaan cubaan mempengaruhi ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong kerajaan.

Susulan dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada Khamis lalu bahawa Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bersama tiga individu lagi membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongannya kepada kerajaan, Johari berkata, beliau sudah membaca secara teliti hansard ucapan Wan Saiful.

Pada masa sama, beliau juga sudah menerima usul di bawah Peraturan 36 (12) daripada Mohd Azizi dan Zulkafperi pada Khamis lalu untuk menghadapkan Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa memfitnah.

Johari memaklumkan, beliau mempunyai dua pilihan selepas mendapat penjelasan daripada semua yang terbabit, sama ada menghadapkan ahli Parlimen yang bersalah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atau menubuhkan jawatankuasa baharu seperti yang diperuntukkan di bawah Peraturan Mesyuarat 80A, yang akan dianggotai ahli Parlimen.

"Jadi ingat Yang Berhormat, hukuman sekali ini akan berat, pasti dikenakan hukuman yang berat kerana saya sudah berkali-kali memberi amaran dan ingatan supaya semua isu politik mesti dibahas, didebat dan dipertarungkan di pentas luar, iaitu pentas politik, bukan Dewan ini.

"Saya juga sudah maklumkan Dewan ini bukan untuk politik dan kepartian, sebaliknya berbincang dan berunding isu rakyat serta negara," katanya sebelum sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Zulkafperi bangun bagi memaklumkan usul yang dihantar beliau kepada Johari.

Mengulas lanjut, Johari berkata, beliau akan melihat perkara itu satu persatu dalam tempoh berbaki tiga hari lagi, sebelum Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 berakhir Rabu ini.

Katanya, perkara itu amat serius kerana membabitkan kredibiliti Ahli Parlimen; Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; kerajaan dan Parlimen.

"Saya sudah menulis kepada Tasek Gelugor untuk mendapatkan fakta yang disebut dengan memberikan bukti jelas, kemudian saya akan panggil Gua Musang dan Tanjong Karang.

"Jika didapati Gua Musang dan Tanjong Karang juga bersalah, kedua-duanya akan dihadapkan ke jawatankuasa," katanya.

Khamis lalu, , Wan Saiful mendakwa Mohd Azizi dan Zulkafperi bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongannya kepada kerajaan.

Berikutan itu, Wan Saiful meminta Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berdasarkan peraturan 80 (A) yang di baca bersama seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini.

Dakwaan Wan Saiful itu, bagaimanapun dinafikan Mohd Azizi dan Zulkafperi, yang disifatkan sebagai fitnah, bertujuan memburukkan imej mereka sebagai ahli politik.

Berita Harian X