Isnin, 25 March 2024 | 12:44pm
Dari kiri, Wan Saiful Wan Jan, Mohd Azizi Abu Naim dan Zulkafperi Hanapi.
Dari kiri, Wan Saiful Wan Jan, Mohd Azizi Abu Naim dan Zulkafperi Hanapi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Gua Musang nafi jadi broker pujuk Wan Saiful

KUALA LUMPUR: Dua wakil rakyat BERSATU yang didakwa menjadi broker untuk memujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, menyokong Perdana Menteri, menafikan mereka bertindak sedemikian.

Mereka Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Zulkafperi dan Mohd Azizi pada sidang media bersama, sebaliknya mendakwa Wan Saiful adalah individu yang cuba mendekati mereka, bertujuan mengemukakan tawaran sebagai habuan sekiranya menyokong Perdana Menteri.

Mereka berkata, Wan Saiful turut membangkitkan persoalan mengenai habuan yang dikatakan diterima dua wakil rakyat itu selepas menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

"Beliau (Wan Saiful) cuba mendekati Mohd Azizi dan saya, kononnya mahu mendapatkan informasi dan kepastian mengenai ubat Wegovey (sejenis ubat tahan selera bagi menguruskan badan dengan suntikan sekali seminggu) yang pernah ditanya dahulu.

"Ini agak aneh dalam keadaan isterinya sedang menderita kanser dan menjalani kimoterapi, selain beliau kononnya sangat terkesan dan tertekan dengan penderitaan isteri serta kos rawatan sangat mahal.

"Namun, kenapa beliau pula mahu kuruskan badan dengan ubat mahal juga? Adakah terdapat muslihat tersembunyi?

"Beliau juga bertanyakan kesahihan individu (dikenali) Hasnan dan Datuk Azman, selain mendakwa kurang yakin dengan mereka," katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Wan Saiful minggu lalu, meminta Dewan Rakyat menubuhkan jawatankuasa berhubung tindakan dua ahli Parlimen yang membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongan kepada kerajaan.

Beliau dilapor menamakan Mohd Azizi dan Zulkafperi membuat tindakan berkenaan bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim.

Pendedahan itu dibuat selepas beliau pada 28 Februari lalu, mendakwa diugut supaya menyatakan sokongan kepada Anwar, selain mengadakan beberapa pertemuan dengan pihak terbabit bagi tujuan itu, sebelum ini.

Mengenai dakwaan enam tawaran kepada Wan Saiful, Zulkafperi berkata, semua perkara itu adalah permintaan dikemukakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu sendiri.

"Pertemuan dan perbualan saya serta Mohd Azizi adalah berkaitan pertanyaan beliau sendiri untuk mendapatkan penjelasan dan kepastian, tetapi saya atau Mohd Azizi gagal membantu atau menjadi ejen beliau yang baik.

"Maka, beliau melaporkan kami pula yang memujuknya. Justeru, jelas kenyataan beliau di Dewan Rakyat bersifat sangkaan jahat, fitnah, mengelirukan dan memutarbelitkan fakta sebenar.

"Beliau menuduh tanpa bukti jelas dan saksi, selain cuba memerangkap ke dalam agenda peribadinya," katanya.

Sementara itu, Mohd Azizi mendakwa tidak pernah berkomunikasi dengan Wan Saiful secara bersemuka atau di platform lain, sejak dipilih sebagai wakil rakyat, kecuali ketika taklimat Ahli Parlimen Perikatan Nasional, tahun lalu.

Beliau berkata, Wan Saiful mendekatinya dan menyatakan minat menyokong Anwar, jika kes mahkamah dihadapinya digugurkan ketika pertemuan tidak disengajakan di kafe Hotel Marriot di sini, pada 17 Januari lalu.

"Wan Saiful bertanya, siapa yang boleh dirujuk untuk memberi jaminan kes mahkamahnya digugurkan jika menyokong Anwar, selain memaklumkan mengalami tekanan susulan kes terbabit disamping isterinya mengalami masalah kesihatan.

"Saya hanya menjawab bukan bidang kuasa saya untuk mengeluarkan sebarang cadangan atau komen dan tak tahu siapa yang boleh membantu beliau.

"Beliau juga bertanya apa insentif kewangan atau lain-lain bakal diperolehi jika menyokong Anwar, selain saya hanya menjawab menerima peruntukan parlimen sama seperti ahli Parlimen kerajaan yang lain," katanya.

Berita Harian X