Isnin, 25 March 2024 | 7:47am
Azman (tengah) mengadakan walkabout pemantauan harga barangan di Anjung Syawal, Putrajaya, semalam. - Foto Samadi Ahmad
Azman (tengah) mengadakan walkabout pemantauan harga barangan di Anjung Syawal, Putrajaya, semalam. - Foto Samadi Ahmad

Ops Pantau 2024: KPDN rekod 84 kes dengan nilai rampasan RM414,000

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan 84 kes berhubung pelbagai kesalahan sepanjang Ops Pantau 2024 yang dijalankan di seluruh negara, membabitkan nilai rampasan RM414,319.07.

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, sebanyak 685 pemeriksaan di Bazar Aidilfitri dilakukan di seluruh negara, dan 623 aduan pelbagai kategori juga diterima dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, antara kesalahan yang diambil tindakan meliputi kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat penimbang yang sah, serta menjual barang-barang tiruan.

"Ops Pantau ini, kita menggerakkan lebih kurang 2,200 pegawai penguatkuasa di seluruh negara bagi melaksanakan penguatkuasaan dan pemantauan pada bulan Ramadan dan Aidilfitri yang dilancarkan pada 12 Mac lalu.

"Penguatkuasaan ini dijalankan dengan tempat tumpuan seperti Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya besar, pasar raya, kedai runcit dan jualan secara dalam talian," katanya kepada pemberita ketika mengadakan walkabout pemantauan harga barangan di Anjung Syawal, Presint 3 di sini semalam.

Azman berkata, tiga negeri merekodkan aduan tertinggi daripada pengguna iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Johor atas kesalahan peniaga tidak meletakkan tanda harga dan menjual barangan dengan harga tinggi.

Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan semua peniaga supaya terus mematuhi segala perundangan yang ditetapkan kerajaan, terutamanya sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri, bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas.

"Pengguna juga dinasihatkan sentiasa berjimat-cermat dan merancang perbelanjaan bagi mengelakkan daripada dimanipulasi oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, selain mengelakkan pembaziran sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X