Ahad, 24 March 2024 | 4:01pm
Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kepada penduduk pada Program Gerobok Kasih Edisi Ramadan di masjid Zaid Bin Thabit. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi
Dr Wan Azizah menyampaikan sumbangan kepada penduduk pada Program Gerobok Kasih Edisi Ramadan di masjid Zaid Bin Thabit. - Foto NSTP/Saifullizan Tamadi

Peniaga kecil disaran bijak urus kewangan

KUALA LUMPUR: Peniaga kecil disarankan untuk bijak menguruskan kewangan hasil daripada perniagaan dalam usaha memastikan mereka dapat mengembangkan perniagaan dengan lebih baik.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kemahiran pengurusan wang itu penting kerana ia dapat membantu peniaga untuk memastikan perniagaannya semakin maju.

Katanya, semua orang boleh memulakan perniagaan kecil-kecilan mereka, tetapi sekiranya tidak tahu menguruskan pendapatan dan perbelanjaan juga tidak berguna.

"Justeru kolaborasi antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk program literasi kewangan adalah satu kemahiran dan pengetahuan yang disifatkan amat baik untuk diaplikasi oleh peniaga.

"Pada masa sama, kita juga menghulurkan sumbangan kepada golongan B40 pada bulan Ramadan ini, malah tak nafikan ada juga golongan yang bukan B40 juga memerlukan bantuan,"katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan pada Program Gerobok Kasih Edisi Ramadan 2024, di sini, hari ini.

Program dengan kerjasama antara YWP dan BSN itu akan dilaksanakan di empat lokasi berbeza dengan pengisian aktiviti kebajikan, pendidikan dan programkeagamaan bagi golongan memerlukan di sekitar Kuala Lumpur.

Pada majlis itu juga, seramai 100 asnaf menerima bantuan sumbangan bakul makanan, 20 pelajar menerima sijil simpanan premium BSN dan 35 peserta mengikuti literasi kewangan BSN.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Zahir Hassan, berkata usaha literasi celik kewangan dengan BSN ini secara tidak langsung dapat mencetuskan kesan lebih positif dan besar kepada peniaga kecil terutamanya.

Katanya, menerusi modul disediakan BSN, ia menyediakan satu program untuk menjadikan warga kota lebih mampan.

"Contohnya bagi peniaga yang sudah berniaga 10 tahun dan memohon sumbangan disebabkan gerai rosak, sebenarnya mereka perlu bijak menguruskan kewangan saja.

"Dalam setiap perniagaan mesti ada keuntungan, jika tidak mereka tidak berniaga, jadi mereka perlu bijak untuk mengasingkan wang bagi tujuan tertentu," katanya.

Berita Harian X