Ahad, 24 March 2024 | 3:01pm
Orang ramai meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan Kampung Baru, Jalan Raja Alang. - foto hiasan BERNAMA
Orang ramai meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan Kampung Baru, Jalan Raja Alang. - foto hiasan BERNAMA

Makanan bazar masih pada harga mampu, munasabah - Persatuan Peniaga

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia hari ini menafikan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan ketika ini terlalu mahal sehingga menyukarkan rakyat Malaysia untuk berbelanja.

Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman, berkata harga makanan yang dijual di situ masih lagi munasabah dan sesuai dengan kenaikan barangan mentah ketika ini.

Tiada peniaga di negara ini mahu kehilangan pelanggan dengan menjual makanan dengan harga yang tinggi, jika boleh mendapat bekalan mentah dengan mudah dan murah.

"Makanan dijual mahal adalah kerana bahan mentah mahal dan sukar untuk diperoleh tetapi apa yang kita lihat, ia tidaklah dijual sehingga tidak mampu langsung dibeli oleh orang ramai. Ia mungkin mahal sedikit tetapi masih dalam kadar mampu dan munasabah.

Datuk Seri Rosli Sulaiman
Datuk Seri Rosli Sulaiman

Peniaga bazar Ramadan terhimpit kos bahan mentah

"Dalam situasi ini, peniaga sebenarnya terhimpit dengan keadaan bahan mentah yang mahal. Ada kala mereka terpaksa juga beli dan jual kepada pelanggan dengan harga yang sedikit naik dan kadar keuntungan yang sedikit.

"Saya juga dapat maklumat, peniaga ketika ini sukar untuk menjual dalam kapasiti yang banyak dan disebabkan itulah payah untuk mereka menjual dengan harga yang lebih rendah. Semua orang perlu faham, bahan mentah yang mahal sememangnya akan menyebabkan jualan menjadi tinggi dan ini juga rungutan daripada peniaga kecil-kecilan sendiri," katanya kepada BH.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, semalam yang tidak menafikan berlaku kenaikan harga makanan di bazar Ramadan ketika ini.

Orang ramai mengunjungi bazar Ramadan Saujana Utama. - Foto hiasan NSTP/Asyraf Hamzah
Orang ramai mengunjungi bazar Ramadan Saujana Utama. - Foto hiasan NSTP/Asyraf Hamzah

Armizan berkata, kenaikan harga itu bukan semuanya berpunca daripada kenaikan bahan mentah di pasaran yang ditentukan pasaran.

"Bawang, minyak masak misalnya pernah naik tinggi sebelum ini. Saya ada terima laporan sebelum ini bahawa ada peniaga (bazar Ramadan) jual karipap hingga RM3 sebiji, tetapi bila kita pergi ke bazar berkenaan dapati ada sembilan peniaga yang menjual kuih itu dalam harga yang berbeza termasuk menjual tiga biji RM1," katanya.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, peniaga makanan ketika ini berusaha untuk memuaskan hati pelanggan dengan pelbagai cara supaya makanan itu berbaloi dengan harga yang dibeli.

"Sebagai contoh jualan karipap, tidak semua kuih itu sama di pasaran dan jika pembeli tidak berpuas hati dengan jualan karipap peniaga tertentu, tidak boleh pukul rata mengatakan karipap peniaga lain juga mahal. Ada yang jual dengan saiz yang berbeza dan inti berbeza, yang membabitkan kos dan bahan mentah berlainan.

"Masyarakat juga kena tahu mereka berhak memilih," katanya yang menegaskan, makanan di bazar Ramadan berharga lebih rendah berbanding yang dijual di restoran-restoran biasa.

Justeru, beliau berkata, kerajaan seharusnya perlu lebih berusaha untuk meningkatkan kawalan harga bahan mentah dan mengekang harga di peringkat pembekalan lagi.

"Kena lihat bagaimana bahan mentah itu jadi mahal dan pembekal tidak mengambil keuntungan yang berlebihan. Kawal barangan agar barangan yang sukar diperolehi itu ada dalam pasaran dan tidak membebankan peniaga.

"Beri solusi yang munasabah untuk kedua-dua pihak kerana peniaga jika peroleh bahan mentah murah akan jual dengan harga rendah kerana mereka juga tidak mahu menanggung kerugian jika barangan yang dijual tidak laku," katanya.

Berita Harian X