Ahad, 24 March 2024 | 11:26am
Mohd Ariff (berdiri tiga dari kiri) bersama anak saudara yatim piatu dan ahli keluarga yang lain. - Foto ihsan Mohd Ariff Hafizan
Mohd Ariff (berdiri tiga dari kiri) bersama anak saudara yatim piatu dan ahli keluarga yang lain. - Foto ihsan Mohd Ariff Hafizan

Waris mangsa COVID-19 sayu sambut puasa, raya tanpa ibu bapa

KUALA LUMPUR: Sudah dua minggu umat Islam berpuasa dan kira-kira dua minggu lagi bakal menyambut Hari Raya, perasaan lima beradik yatim piatu kian pilu mengenangkan ibu bapa yang meninggal dunia angkara virus COVID-19.

Tiga tahun lalu, bapa mereka, Hasil Tahal meninggal dunia pada usia 46 tahun manakala ibu, Ida Haryanie Abdul Razak, 34. Sejak itu, Muhammad Hadhrami, 14; Husna Humaira, 12; Muhammad Haraz, 11; Muhammad Hawwas, 9, dan Hannan Humaira, 6, menumpang kasih saudara mara.

Muhammad Hadhrami kini tinggal di asrama Sekolah Menengah Agama Persekutuan di Selangor, yang bongsu dijaga bapa saudara, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak, 39. Tiga lagi tinggal bersama ibu saudara, Izatul Hakimi; nenek, Kintan Sulaiman serta datuk, Abdul Razak Basirun di Seri Kembangan, Selangor.

Menurut Mohd Ariff Hafizan, kesedihan masih terlihat pada wajah lima beradik berkenaan, terutama menjelang Aidilfitri kerana pemergian kakak dan abang iparnya meninggalkan kesan begitu mendalam pada keluarga mereka.

"Namun Alhamdulillah, mereka dah dapat menyesuaikan diri. Sesekali, terutama Hannan Humaira ada luah rasa rindu terhadap arwah. Saya dan adik beradik lain akan cuba sebaiknya kurangkan kesedihan mereka, kami jarang bercakap mengenai arwah, nak elak gangguan sepanjang lima beradik ini membesar," katanya.

Mengenai persiapan Ramadan dan Aidilfitri, Mohd Ariff Hafizan berkata, lima anak saudaranya itu ada menerima bantuan daripada Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang diasaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dilancarkan Oktober 2021.

"Bantuan YKM sangat membantu. Nak membesarkan lima anak saudara ini perlu belanja yang besar. Banyak sumbangan kami terima daripada YKM, antaranya bantuan persekolahan dan bayaran secara 'one-off'. Datuk Seri Ismail Sabri juga selalu ziarah anak-anak saudara saya," katanya.

Kisah sama juga dilalui Nazurah Nabilah Benyajeed, 22, yang menggalas tugas ketua keluarga menjaga tujuh adik, kebanyakannya masih bersekolah selepas mereka kehilangan ibu bapa, juga akibat COVID-19 pada 2021.

Bapa mereka, Benyajeed Bernie meninggal pada 16 Julai 2021, diikuti ibu, Noraini Ibrahim, dua hari kemudian. Allahyarham Benyajeed dikatakan memiliki sejarah penyakit, termasuk menghidap angin ahmar lebih 10 tahun, arwah isterinya pula ada penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi.

"Bila ibu dan ayah sudah tiada, rasa lain sebab tiada lagi bebelan mereka, terutama setiap pagi waktu sahur. Biasanya juadah kami sekeluarga ketika bersahur sangat mudah, nasi dan telur goreng pun sudah memadai, kami tak makan lauk berkuah.

"Yang pasti, kami cuba kekalkan tradisi berbuka beramai-ramai kerana ia memang diamalkan sejak dulu lagi. Sebelum ini, arwah ayah biasanya siapkan menu berbuka kerana ibu bekerja. Adakala ayah masak sambal ayam dan pelbagai lauk lain, kadang-kadang beli sahaja di bazar Ramadan.

"Memang ada mak cik membantu kami, tetapi perasaan itu tak sama. Berapa lama sekalipun, ia takkan dapat membuang rasa sedih mengenang hidup tanpa ibu dan ayah, tapi kena kuatlah," katanya ketika dikunjungi delegasi YKM di rumah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.

Mengenai persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, katanya, ia dibuat ala kadar.

"Biasanya ibu dan ayah akan beli baju raya, tapi kini saya perlu ambil alih tugas ini. Besar tanggungjawab saya untuk besarkan adik-adik," katanya sambil memaklumkan, mereka selalunya pulang ke kampung di Pahang setiap kali menyambut Aidilfitri.

Berharap semua adiknya tidak jemu menimba ilmu dan terus belajar hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT), Nazurah Nabilah berterima kasih kepada Ismail Sabri kerana sering menziarahi dan YKM serta pihak yang menyalurkan bantuan sejak kematian ibu dan ayah mereka.

Berita Harian X