Ahad, 24 March 2024 | 8:48am

Tak cukup tidur siapkan lebih 30,000 biji ketupat palas menjelang Aidilfitri

RANTAU PANJANG: Setiap kali menjelang Aidilfitiri, pengusaha ketupat dari Kampung Lubok Gong, di sini tidak cukup tidur demi menyiapkan lebih 30,000 ketupat palas yang ditempah pelanggan sempena Aidilfitri.

Suwaibah Mustafa, 50, menyifatkan Ramadan adalah waktu yang paling sibuk buat dirinya demi memastikan segala tempahan ketupat dapat disiapkan sebagaimana yang dijadualkan.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, dia membuat empat jenis ketupat palas sejak 20 tahun lalu iaitu manis, lemak, pulut hitam dan ketupat serunding.

"Setiap hari saya perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 1,000 biji ketupat dan dibantu oleh lima pekerja yang juga penduduk sekitar kampung ini untuk proses membungkus ketupat.

"Seawal jam 5 pagi selepas selesai bersahur, saya sudah mula menyiapkan segala kelengkapan termasuk mesin kelapa dan merendam beras pulut sebelum direbus.

"Setiap hari, proses membungkus ketupat hanya selesai jam 2 atau 3 petang. Selepas waktu itu, saya boleh berehat kira-kira sejam sebelum menguruskan kelengkapan untuk persediaan esok pula," katanya ditemui di rumahnya.

Ditanya apa perbezaan ketupat yang dihasilkannya berbanding pengusaha lain, Suwaibah berkata pendekatan yang dilakukan adalah berbeza.

Hasilkan santan sendiri

"Saya lebih ke arah tradisional di mana jika orang lain menggunakan santan yang siap ditempah, berbeza dengan saya yang membeli kelapa dan akan mengupas sebelum parut kelapa sendiri.

"Saya tidak yakin untuk menggunakan santan yang dibeli di kedai kerana bimbang ia menjejaskan rasa ketupat saya. Justeru saya memilih untuk membeli kelapa dan hanya akan memprosesnya setiap kali mahu membuat ketupat," katanya.

Beliau turut bersyukur sambutan yang diterima saban tahun terutama Aidilfitri sangat menggalakkan.

"Pada mulanya saya membantu ibu mentua yang membuat ketupat dan selepas ibu mentua meninggal beberapa tahun lalu, saya mengambil alih sepenuhnya perniagaan ini.

"Hingga kini sudah 20 tahun saya menjual ketupat dan kebanyakan mereka yang menempah adalah pelanggan tetap.

"Walaupun tidak cukup tidur, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah dan sentiasa menjaga kualiti ketupat supaya kuih tradisional ini terus mendapat sambutan," katanya.

Ketupat palas dijual pada antara RM1 hingga RM1.40 sebiji bergantung kepada jenis ketupat.

Suwaibah Mustafa, 50 dalam proses menyediakan ketupat palas yang ditempah pelanggannya di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang. Ketupat palas merupakan juadah tradisional yang menjadi pilihan orang ramai pada Ramadan dan Syawal. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Suwaibah Mustafa, 50 dalam proses menyediakan ketupat palas yang ditempah pelanggannya di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang. Ketupat palas merupakan juadah tradisional yang menjadi pilihan orang ramai pada Ramadan dan Syawal. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X