Sabtu, 23 March 2024 | 4:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kedah tiada hasrat dedah nama pasangan nikah di Thailand

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak akan mendedahkan nama pasangan dari negeri ini yang berkahwin di Thailand yang tidak mendaftarkan perkahwinan di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Perpaduan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, sebaliknya kerajaan negeri akan terus menasihati pasangan terbabit untuk segera mendaftarkan perkahwinan di pejabat agama bagi mengelak sebarang kesulitan di kemudian hari.

Beliau berkata, ia bagi memastikan tiada siapa yang tercicir daripada mendapat hak, keistimewaan dan kebajikan selepas mendaftarkan perkahwinan, selain mengelakkan masalah dokumentasi anak.

"Kita kempen bukan tak boleh berpoligami, tetapi cumanya bila balik mai sini, segeralah mendaftar agar anak-anak dapat mendaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapat pembelaan itu sahaja.

"Saya tidak ada jumlah tepat, tapi dari media sosial menyebut dalam sebulan ada 300 pasangan yang berkahwin di sana.

"... tapi tak banyak orang Kedah yang berkahwin di sana, kalau kahwin pun ada sebab-sebab tertentu saja," katanya selepas merasmikan Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kedah di sini, hari ini.

Halimaton Shaadiah berkata, masalah kahwin rentas sempadan yang tidak didaftarkan di negara ini menjadi antara punca utama anak-anak keciciran dalam mendapatkan pendidikan, selain manfaat lain sebagai rakyat negara ini.

Sebelum ini, Halimaton Shaadiah ketika sesi penggulungan perbahasan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada 7 Mac lalu, dilaporkan berkata pejabat agama Islam di selatan Thailand akan menyerahkan senarai nama rakyat Kedah yang berkahwin di wilayah itu bagi menyelesaikan masalah perkahwinan yang tidak didaftarkan di negara ini.

Beliau berkata, data itu bagi membolehkan pihak berkuasa agama Islam negeri ini menetapkan perintah kepada pasangan terbabit untuk mendaftarkan perkahwinan dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Halimaton Shaadiah berkata, antara masalah yang akan dihadapi pasangan berkahwin di Thailand yang tidak mendaftarkan perkahwinan dengan MAIK adalah anak yang lahir tidak dapat didaftarkan dengan JPN.

"Isteri pula tiada hak jika bercerai hidup atau bercerai mati. Seterusnya isteri dan anak tiada hak ke atas harta pusaka, penilaian peninggalan ayah atau suami. Ini termasuk anak tidak dapat belajar di sekolah kerajaan dan masalah ini membimbangkan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X