Sabtu, 23 March 2024 | 4:05pm
Kebanyakan pengguna berpendapat kenaikan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus tidak berpatutan. - Foto hiasan
Kebanyakan pengguna berpendapat kenaikan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus tidak berpatutan. - Foto hiasan

'Kenaikan harga tiket bas 42 peratus tidak patut'

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus tidak berpatutan, lebih-lebih bagi mereka yang berkeluarga, kata pekerja swasta, Muhammad Aiman Mohd Yunus, 25.

Beliau berkata, tiket bas mencecah RM70 amat membebankan, khususnya bagi golongan yang berkeluarga dan kurang berkemampuan.

"Kebanyakan mereka yang menaiki bas, tidak berkemampuan. Kalau seorang RM70 untuk sehala, berapa ratus ringgit dihabiskan untuk pengangkutan saja dan ini seperti diskriminasi untuk mereka yang berkeluarga.

"Kalau bujang seperti saya, masih boleh buat pilihan sama ada pulang naik bas atau kapal terbang. Bezanya, harga sedikit mahal dan masa.

"Tetapi bagi yang berkeluarga, agak kasihan sebab mereka tiada pilihan. Kalau naik kapal terbang, kos lebih mahal apatah lagi jika ramai, jadi mereka terpaksa naik bas juga," katanya kepada BH.

BH semalam melaporkan, pengusaha bas ekspres di Pantai Timur dijangka menaikkan harga tiket bas eksekutif sebanyak 42 peratus iaitu dari RM44 kepada RM75, dalam masa terdekat.

Perkara itu diputuskan menerusi perbincangan membabitkan pengusaha bas di Pantai Timur berikutan kos semakin meningkat, manakala negeri lain sudah lama menaikkan harga.

Muhammad Aiman berkata, tiket bas berharga RM60 hingga RM70 tidak berbaloi lebih-lebih lagi pada musim perayaan yang perlu mengharungi kesesakan berjam-jam lamanya.

Seorang lagi pengguna, Zaiton Lat, 29, berkata kenaikan harga sebanyak 42 peratus sangat tinggi dan membebankan.

"Harga tiket bas biasa untuk pulang ke Temerloh setakat ini hanya RM11.50. Kalau musim perayaan, memang cepat habis. Kalau terdesak, saya terpaksa beli juga tiket bas eksekutif yang tinggal dengan harga RM60.

"Bagaimanapun, saya akan buat pertimbangan dahulu sama ada nak balik atau tidak. Kalau tiada keperluan saya tidak akan beli tiket dan pulang ke kampung," katanya.

Seorang lagi pengguna yang hanya ingin dikenali Nazir turut mengakui, harga tiket bas meningkat berbanding sebelumnya.

Katanya, terdapat perbezaan harga yang ketara terutamanya antara tiket bas ekonomi dan tiket bas eksekutif pada tempoh bukan perayaan.

Katanya, tidak mustahil harga tiket bas bagi tempoh perayaan meningkat secara mendadak kerana ada permintaan yang tinggi oleh pengguna dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

"Keterbatasan sistem pengangkutan awam yang lebih lancar juga mempengaruhi pengguna untuk menaiki bas kerana ia satu-satunya pilihan yang ada jika tiada kenderaan peribadi.

"Saya sendiri agak terbeban apabila ada perubahan harga biarpun naik dari tempat yang sama," katanya.

Berita Harian X