Sabtu, 23 March 2024 | 3:56pm
Adnan pada Program Ihya Ramadan Bubur Pedas CUEPACS Sarawak di Jalan Bampfylde, Kuching. - Foto BH/NADIM BOKHARI
Adnan pada Program Ihya Ramadan Bubur Pedas CUEPACS Sarawak di Jalan Bampfylde, Kuching. - Foto BH/NADIM BOKHARI

CUEPACS harap ada bantuan Aidilfitri

KUCHING: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) optimis kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan kewangan khas sempena Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat, berkata walaupun Aidilfitri semakin hampir dan kerajaan belum memberi maklum balas terhadap pemintaan mereka, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkannya dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pemberian bantuan khas perayaan sudah menjadi tradisi sejak 10 tahun lalu.

"Beberapa kerajaan negeri sudah mengumumkan bantuan khas perayaan. Antaranya Selangor yang memberi bantuan khas Aidilfitri sebanyak sebulan gaji.

"Selain Selangor, negeri yang sudah mengumumkan bantuan itu ialah Pulau Pinang, Johor dan Perak manakala Sarawak baru sahaja memberi insentif sistem saraan sebanyak RM2,000," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ihya Ramadan Bubur Pedas CUEPACS Sarawak di sini, hari ini.

Adnan berkata, CUEPACS sudah menghantar surat rasmi kepada kerajaan berhubung rayuan untuk mendapatkan bantuan khas kepada kakitangan awam Persekutuan itu.

"Dalam surat itu kita merayu kepada kerajaan supaya mengambil maklum sebagaimana pelaksanaan pemberian bonus di negeri-negeri.

"Tetapi kakitangan awam Persekutuan tidak menerima bonus tahun ini seperti yang diterima kakitangan awam negeri, sebaliknya kita diberi bayaran insentif awal sistem saraan sebanyak RM2,000.

"Jadi, untuk perayaan Aidilfitri ini kita meminta sekurang-kurangnya kerajaan mempertimbang setengah bulan gaji," katanya.

Berita Harian X