Sabtu, 23 March 2024 | 1:50pm
Alia Nadia Mohd Radzif menunjukkan gambar abang iparnya, Mohd Azrie Faiz Abdullah, 32, yang maut digilis lori manakala kakaknya, Alis Natiesha, 30, dan anak mereka, Putera Yusuf Matin, 4, cedera. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Alia Nadia Mohd Radzif menunjukkan gambar abang iparnya, Mohd Azrie Faiz Abdullah, 32, yang maut digilis lori manakala kakaknya, Alis Natiesha, 30, dan anak mereka, Putera Yusuf Matin, 4, cedera. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli

'Kakak minta tolong, beritahu suami dia dah hancur'

ALOR SETAR: "Kakak hubungi saya minta bantuan selepas mereka tiga beranak terbabit dalam kemalangan dan beritahu suaminya hancur dah, tak boleh angkat dah.

"Saya ingatkan mereka hanya kemalangan biasa dan tak faham apa yang dia sebut rupanya abang ipar meninggal dunia dan hancur digilis treler depan mata kakak," kata Alia Nadia Mohd Radzif, 29.

Alia Nadia adalah adik kepada Alis Natiesha, 30, yang terbabit dalam kemalangan selepas motosikal yang dinaiki bersama suami dan anak lelaki mereka berusia empat tahun dilanggar sebuah treler di Kilometer 16.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan dekat Napoh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, suami wanita itu, Mohd Azrie Faiz Abdullah, 32, maut selepas digilis treler berkenaan manakala isteri dan anak mereka, Putera Yusuf Matin Mohd Azrie, 4, cedera.

Alis Natiesha yang hamil enam bulan anak kedua pula cedera di kaki kanan dan kandungannya dilaporkan selamat manakala anak lelakinya cedera di kepala dan luka di jari dan tangan.

Menurut Alia Nadia, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Warisan, Guar Chempedak selepas berbuka puasa di rumah adik ketiga mereka, Mohd Raffiel, 26, di Changlun.

Katanya, dia yang turut serta berbuka puasa di situ hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi kakaknya yang mereka terbabit kemalangan.

"Kami pun dalam perjalanan pulang ke Jitra ketika itu dan hanya kira-kira 10 minit bergerak untuk pulang, saya terima panggilan itu menyebabkan saya terkejut.

"Keadaan jalan ketika itu sesak dengan kenderaan dan sebaik tiba di lokasi, saya dapati keadaan abang ipar ketika itu sangat menyedihkan.

"Kakak beritahu yang arwah suaminya sempat menolak anak mereka ke kiri jalan sebelum dia jatuh dan digilis kenderaan itu. Jika tidak, mungkin anak mereka pun jadi mangsa," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) hari ini.

Menurut Alia Nadia, arwah abang iparnya bekerja di sebuah warung kopi kampung di Hutan Kampung, di sini sejak setahun lalu sering berulang alik dari Guar Chempedak setiap hari.

Katanya, arwah sebelum ini seorang yang ceria dan banyak bercakap tetapi malam tadi selepas berbuka puasa, dia banyak mendiamkan diri lebih banyak menyendiri.

Menurut Alia Nadia, sebelum itu, mereka sekeluarga menghalang kakak dan abang iparnya pulang kerana sudah lewat malam dan menyuruh mereka bermalam di rumah keluarga di Jitra terlebih dahulu.

Jenazah Mohd Azrie dibawa pulang ke Guar Chempedak untuk dikebumikan petang ini.

Berita Harian X