Jumaat, 22 March 2024 | 11:10pm
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau Parlimen Bukit Gantang. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau Parlimen Bukit Gantang. NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Pantau 60 lokasi, hanya 10 pasar raya jual beras putih tempatan

BUKIT GANTANG: Hanya 10 daripada 60 lokasi pasar raya di seluruh Semenanjung Malaysia menjual beras putih tempatan pada harga RM26 sekampit 10 kilogram (kg).

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata ia berdasarkan pemeriksaan pasukan pemantau yang diarahkan ke lokasi terbabit selepas mesyuarat NACCOL, Rabu lalu.

Katanya, bermula jam 10 pagi hingga jam 2 petang tadi, pasukan pemantau yang melakukan pemeriksaan mendapati 50 premis lagi masih belum mendapat bekalan.

"Pagi tadi, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi memaklumkan dalam sesi bual bicaranya di televisyen, akan mengedar lebih 14 juta tan beras ke seluruh negara termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan pasar raya di seluruh negara.

"Kenapa hanya 10 pasar raya? Yang lain-lain bila? Sebab itu saya minta mereka senaraikan nama-nama kilang dan lokasi yang diedarkan supaya rakyat dapat tahu lokasi sebenar," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Ramadan Masjid dan Surau Parlimen Bukit Gantang 2024 di sini, malam ini.

Syed Abu Hussin berkata, pihaknya amat kesal kerana dalam keadaan sebegini, beras putih tempatan sememangnya mendapat permintaan tinggi dari rakyat.

Katanya, rakyat pasti tertunggu-tunggu dan tertanya di mana lokasinya apabila ketua pengarah sendiri memaklumkan ia akan diedar ke seluruh negara.

Berita Harian X