Jumaat, 22 March 2024 | 10:11pm
Foto hiasan NSTP
Foto hiasan NSTP

Pengusaha bas dibenar kenakan surcaj 10 peratus

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan pengusaha bas ekspres mengenakan surcaj 10 peratus sempena perayaan Aidilfitri ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan membenarkan surcaj itu sejak 20 tahun lalu seminggu sebelum dan seminggu selepas perayaan.

Menurutnya, ia bertujuan membantu pengusaha menambah kapasiti bas dan sekiranya tidak dibenarkan, ia menyukarkan pengusaha menyewa bas tambahan dan membayar elaun serta bayaran tambahan kepada pekerja.

Katanya, sekiranya tidak dibenarkan berkemungkinan kapasiti bas akan kurang dan menyukarkan pihak pengusaha.

"Sekiranya terdapat syarikat atau pengusaha yang mengenakan lebih daripada 10 peratus, aduan boleh dibuat kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan siasatan akan diadakan," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, APAD memaklumkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi mengalami kenaikan 10 peratus mulai 4 hingga 17 April ini.

Katanya, Jemaah Menteri meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer dan pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 sekilometer, berbanding kadar tambang biasa RM0.093 sekilometer.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata, kementeriannya sudah menetapkan larangan untuk kenderaan berat menggunakan jalan raya khususnya lebuh raya dua hari sebelum sambutan Aidilfitri bermula 8 hingga 9 April ini.

Katanya, larangan juga membabitkan dua hari selepas sambutan Aidilfitri pada Jumaat dan Sabtu iaitu pada 12 dan 13 April.

Berita Harian X