Jumaat, 22 March 2024 | 8:09pm
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Saleh, melawat Bazar Ramadan Rahmah di Metro City Kuching. NSTP/Nadim Bokhari
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Saleh, melawat Bazar Ramadan Rahmah di Metro City Kuching. NSTP/Nadim Bokhari

MYSaveFood akan diperluas ke pasar malam

KUCHING: Projek MYSaveFood yang kini dilaksanakan di Bazar Ramadan akan diperluaskan ke pasar malam pula selepas Aidilfitri ini dengan objektif sama bagi mengurangkan pembaziran makanan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu dijalankan bagi menyalurkan lebihan makanan tidak terjual oleh peniaga pasar kepada golongan memerlukan.

Katanya, MYSaveFood Ramadan di 75 Bazar Ramadan yang dijalankan di seluruh negara ketika ini, terbukti berjaya mengurangkan pembaziran selain dapat membantu kumpulan sasar.

"Tahun ini, kita melaksanakan program bagi menyelamatkan makanan ini dengan kerjasama sukarelawan Gerakan Pengguna Siswa dan semalam sahaja kita berjaya menyelamatkan lebih 14,000 tan makanan di bazar Ramadan seluruh negara.

"Sebab itu, kita akan memperluaskan program ini ke pasar malam pula selepas ini kerana di sana juga banyak makanan yang tidak terjual," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bazar Ramadan Rahmah dan Inisiatif MYSaveFood 2024 Peringkat Negeri Sarawak di Bazar Ramadan Metro City di sini, hari ini.

Program MySaveFood dilaksanakan bagi membudayakan sistem pengurusan lebihan makanan yang efektif di bazar Ramadan yang mudah direplikasi dalam usaha mengurangkan pembaziran makanan.

Inisiatif ini turut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu mengurangkan separuh daripada jumlah pembaziran makanan menjelang 2030 dan mewujudkan 'zero hunger'.

Sementara itu, mengenai isu minyak masak paket satu kilogram, Fuziah berkata, pihaknya tidak merancang menambah kuota bekalan daripada yang ditetapkan ketika ini 60,000 tan metrik.

Katanya, masalah bekalan ketika ini berlaku akibat industri mikro menggunakan minyak masak paket.

"Permintaan tinggi apabila industri mikro turut menggunakan minyak paket, sebab itu apabila pasar raya menambah stok jualan, ia cepat habis dan pengguna domestik tidak sempat mendapatkannya.

"Bekalan mencukupi sebenarnya, cuma permintaan terlalu tinggi dan jika pengguna mendapati masalah itu, buat aduan terus ke KPDN," katanya.

Berita Harian X