Jumaat, 22 March 2024 | 10:51am
Dr Kamal menyerahkan replika sumbangan mesin imbasan tomografi berkomputer kepada Dr Nor Fatimah sebagai tanda penyerahan di Hospital Gleneagles di Iskandar Puteri. - Foto NSTP
Dr Kamal menyerahkan replika sumbangan mesin imbasan tomografi berkomputer kepada Dr Nor Fatimah sebagai tanda penyerahan di Hospital Gleneagles di Iskandar Puteri. - Foto NSTP

Inisiatif Hospital Gleneagles Johor perkasakan perkhidmatan kesihatan komuniti, masyarakat

ISKANDAR PUTERI: Hospital Gleneagles Johor (GHJ) menyumbangkan mesin imbasan tomografi berkomputer (CBCT) kepada Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat, di sini sebagai inisiatif memperkasakan industri penjagaan kesihatan di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor dan Ketua Pegawai Eksekutif Serantau, Hospital Selatan dan Timur, IHH MY, Dr Kamal Amzan, berkata pihaknya yakin sumbangan berkenaan mampu melengkapi keperluan perkhidmatan kesihatan komuniti di Batu Pahat.

Beliau berkata, sumbangan peralatan pengimejan diagnostik yang tepat dan terperinci juga dapat memastikan penjagaan pesakit yang lebih baik, hasil rawatan lebih baik serta mengurangkan masa menunggu pesakit.

"Dengan menyumbang mesin imbasan CBCT ini kepada HSNI, kami berharap dapat mengurangkan masa dan tempoh perjalanan pesakit yang sejajar dengan matlamat kami untuk mengurangkan beban kesihatan awam.

"Usaha ini menunjukkan komitmen GHJ untuk membina hubungan yang kukuh dengan pusat perubatan awam, selain memupuk pendekatan kolaboratif bagi menangani cabaran penjagaan kesihatan serta meningkatkan akses kepada perkhidmatan perubatan lanjutan.

"Menerusi sumbangan ini, GHJ berhasrat untuk mempamerkan keberkesanan kerjasama dalam menangani keperluan penjagaan kesihatan serta kebolehcapaian yang lebih baik bagi industri penjagaan kesihatan berkualiti di Johor dan seluruh negara," katanya pada sidang media sempena sesi penyerahan mesin CBCT di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Pergigian Daerah Batu Pahat, Dr Nor Fatimah Syahraz Abdul Razakek.

Pemerkasaan hospital awam

Dr Kamal berkata, sumbangan mesin berkenaan juga bagi menyokong akses penjagaan kesihatan menerusi pemerkasaan hospital awam.

Katanya, pihaknya yakin HSNI boleh memanfaatkan sumbangan itu serta memberi manfaat secara berterusan kepada orang ramai.

"Kami yakin inisiatif dipelopori GHJ akan menjadi kesinambungan dalam kalangan hospital dan pusat perubatan swasta lain di negara ini.

"Kami juga menyeru hospital swasta lain bersama-sama dalam usaha membantu hospital awam akses kepada kemudahan yang jauh dari jangkauan.

"Kami yakin sebarang sumbangan kepada hospital awam menggariskan kepercayaan GHJ terhadap kepentingan kerjasama antara sektor penjagaan kesihatan swasta dan awam untuk memastikan teknologi perubatan terkini boleh diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Malah inisiatif ini menjadi platform bagi pelbagai bentuk kerjasama pada masa depan termasuk perkongsian ilmu perubatan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Dr Nor Fatimah berkata, CBCT membolehkan imej dimanipulasi dan diproses menggunakan komputer untuk melihat gigi dan rahang dalam pelbagai arah bagi membolehkan doktor untuk mengetahui masalah berkaitan gigi dan menentukan rawatan gigi sesuai.

"Mesin itu bakal menjadi kemudahan tambahan di institusi perubatan awam Batu Pahat dan memudahkan pesakit tanpa perlu dirujuk ke hospital berjauhan.

"Kami berterima kasih atas sumbangan ini dan menghargai inisiatif GHJ," katanya.

Berita Harian X