Khamis, 21 March 2024 | 6:27pm
Usaha mendidik pekerja gig berkaitan KKP mencabar kerana ramai bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan. - BERNAMA
Usaha mendidik pekerja gig berkaitan KKP mencabar kerana ramai bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan. - BERNAMA

NIOSH tumpu keselamatan dan kesihatan pekerja TVET, ekonomi gig

KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaaan (KKP) perlu dipertingkatkan dalam kalangan pekerja muda terutama yang terbabit dalam Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi gig yang semakin bertambah.

Naib Pengerusi Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata, usaha itu lebih mudah dilakukan dalam kalangan pelajar TVET hasil kerjasama dengan institusi pengajian berkaitan, namun untuk mendidik pekerja gig lebih mencabar.

Beliau berkata, cabaran itu disebabkan masih ramai pekerja dalam sektor gig yang bekerja sendiri atau melakukan pekerjaan secara sambilan.

Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan (KPM), katanya, lebih kurang 300,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak berminat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat pengaruh ekonomi gig.

"Namun kita yakin NIOSH mampu mendekati pekerja gig dan juga graduan TVET melalui inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Manivanan yang baharu dilantik sebagai pengerusi NIOSH menghadiri taklimat disampaikan Pengarah Eksekutifnya, Ayop Salleh di ibu pejabat NIOSH, di sini.

Manivanan berkata, Perdana Menteri turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak 1.12 juta pekerja gig dalam penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya baru-baru ini.

Justeru, katanya, beliau akan menggunakan pengalaman serta hubungan baik dengan pelbagai pihak untuk membantu NIOSH meningkatkan kesedaran mengenai KKP dalam kalangan pekerja gig dan juga graduan TVET.

"Saya difahamkan NIOSH sudah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan kursus pemanduan dan menunggang motosikal secara berhemah untuk golongan terbabit dalam perkhidmatan e-hailing dan p-hailing.

"Usaha ini perlu dipertingkatkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan e-hailing dan p-hailing terbabit," katanya.

Beliau berkata, inisiatif khusus ini penting untuk membantu kerajaan mencapai sasaran ditetapkan di bawah Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021-2025 (OSHMP25).

Di samping itu, beliau memberi komitmen sepenuhnya untuk memikul amanah diberikan demi menjayakan aspirasi Perdana Menteri dan kerajaan Madani selain memartabatkan warga pekerja.

Berita Harian X