Khamis, 21 March 2024 | 6:07pm
Mohd Azizi (kiri), dan Wan Saiful
Mohd Azizi (kiri), dan Wan Saiful

MP Gua Musang nafi tuduhan Wan Saiful

KOTA BARU: Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim menyifatkan kenyataan Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini sebagai fitnah yang bertujuan memburukkan imejnya sebagai seorang ahli politik.

Mohd Azizi dengan itu meminta Wan Saiful mengemukakan bukti bagi tuduhannya.

"Ketika beliau (Wan Saiful) bercakap tentang hal itu, saya berada di luar Parlimen menghadiri sesi taklimat.

"Saya sangat terkejut setelah mendengar semua tuduhan terhadap saya dan saya ingin menegaskan di sini bahawa saya tidak pernah menjemput atau menelefon beliau untuk bertemu dengan Perdana Menteri.

"Tetapi saya ingat saya pernah bertemu dengannya dan seorang lelaki lain yang saya tidak kenal di sebuah kafe di Kuala Lumpur tahun ini.

"Dia memberitahu saya bahawa dia telah didekati oleh seseorang untuk menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan saya telah menunjukkan butir-butir dan perjanjian (dari telefon saya) apa yang akan saya dapat sebagai ganjaran untuk menyokong PM.

"Saya memberitahunya bahawa saya akan mendapat peruntukan yang sama seperti Ahli Parlimen lain dalam kerajaan perpaduan.

"Jadi bagi saya, kenyataannya hari ini tidak berasas dan bertujuan memfitnah saya. Jika benar, beliau boleh menyediakan bukti seperti rakaman suara atau saksi untuk menyokong tuduhannya," katanya kepada NST.

Mohd Azizi berkata beliau akan membincangkan isu itu dengan Speaker Dewan Rakyat tidak lama lagi sebelum mengambil langkah seterusnya terhadap Wan Saiful.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful hari ini mendakwa Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bersama tiga lagi individu dikenali sebagai Hasnan, Datuk Azman dan Datuk Rahim membuat kacau ganggu dalam usaha mempengaruhi kelakuan dan sokongannya kepada kerajaan.

Berikutan itu, Wan Saiful meminta Dewan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berdasarkan peraturan 80 (A) yang di baca bersama seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 (Akta 347) bagi mengenal pasti, membicara, memutuskan menghukum beberapa individu yang membuat penawaran bagi mempengaruhi kelakuan saya dalam dewan ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor memberitahu Wan Saiful untuk mengemukakan usul kepada pejabat Speaker untuk tindakan lanjut kerana ia melibatkan tuduhan serius terhadap ahli Parlimen lain.

Menjawab itu, Wan Saiful berkata beliau akan mengemukakan cadangan tersebut dan berharap agar perkara ini menjaga maruah dewan.

Berita Harian X