Khamis, 21 March 2024 | 11:59am

Guna inovasi sains dan teknologi pantau, lindungi hutan negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melaksanakan pelbagai inovasi dalam sektor perhutanan sebagai penyelesaian baharu untuk kelestarian alam sekitar yang lebih baik.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata inovasi dalam sektor perhutanan adalah elemen penting bagi mendepani cabaran alam sekitar global dan keperluan memelihara hutan untuk generasi akan datang melalui gabungan sains dan teknologi serta pembabitan masyarakat.

"Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM ) sudah menubuhkan sebuah bilik gerakan yang menjadi pusat sehenti dan menggunakan sistem seperti e-Geospatial Perhutanan (e-GP), Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS Plus) dan Forest Fire Big Data Analytics (BDA) bagi tujuan pemantauan kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia.

"Jabatan Perhutanan Sabah dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) pula membangunkan sistem iForSabah bagi aktiviti pemantauan hutan di Wilayah Sabah.

"Jabatan Hutan Sarawak juga membangunkan sistem Continuous Monitoring of Surveillance (COMOS) yang menggabungkan analisa imej satelit dan mengesahkan titik koordinat dengan menggunakan pesawat yang dilengkapi sistem cerapan udara hiperspektral bagi membantu tindakan penguatkuasaan dan pemantauan sumber asli negara di Wilayah Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2024 yang membawa tema 'Hutan dan Inovasi.

Nik Nazmi berkata, penggunaan teknologi sains forensik seperti pengecaman kayu melalui kaedah Deoxyribonucleic Acid (DNA) yang dibangunkan oleh FRIM membantu JPSM melaksanakan siasatan dalam kes kesalahan hutan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) melalui kaedah identifikasi spesies kayu serta pengesanan asal usul geografi di sepanjang rantaian penjagaan.

"Pada masa ini, FRIM sudah mewujudkan pangkalan data DNA bagi membantu industri perkayuan untuk mensahihkan spesies kayu untuk 12 spesies pokok tropika penting seperti Bakau Kurap, Bakau Minyak, Chengal, Kapur, Karas, Keladan, Kempas, Merbau, Meranti Bukit, ⁠Meranti Seraya, Meranti Tembaga dan ⁠Ramin Malawis.

"Inovasi teknik penanaman yang menggabungkan penggunaan teknologi yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak melalui penghasilan bebola benih yang dikenali sebagai Sarabom melalui Projek Seed Ball: Throw and Grow sebagai salah satu usaha penghijauan dan restorasi hutan terosot di Wilayah Sarawak.

"Penanaman semula hutan dengan dron khas dan alat Seedball Blaster dapat menjimatkan masa dan kos di samping menggantikan kaedah konvensional yang perlahan dan sukar," katanya.

Nik Nazmi berkata, FRIM juga menghasilkan teknik penanaman inovatif, iaitu 'Comp-Mat' dan 'Comp-Pillow' di kawasan hutan paya laut yang berisiko.

"Bagi mengurangkan kesan ombak untuk tujuan pengekalan hutan paya laut, JPSM bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam menghasilkan inovasi struktur pemecah ombak dan pencegah hakisan seperti wave attenuator di Sungai Kilim, Langkawi, Kedah dan coastal block di Tanjung Piai, Johor.

"Melalui inovasi pendigitalan berteraskan Internet of Things (IoT), JPSM kini sedang giat melaksanakan Projek Pendigitalan Sumber dan Operasi Hutan (PSOH) di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan sistem kerja manual bagi sebahagian proses pengusahasilan hutan di Jabatan Perhutanan Negeri (JPN)," katanya.

Beliau juga berkata, perkara itu seterusnya akan dapat meningkatkan kecekapan dan produktiviti khususnya dalam perancangan, pengurusan dan pemantauan hasil hutan selain menjadi pemangkin ke arah transformasi maklumat yang komprehensif dan berkualiti," katanya.

Berita Harian X