Khamis, 21 March 2024 | 11:32am
Pendatang asing mampu membayar sewa tanah yang mahal antara RM250 hingga RM500 sebulan bagi 0.4 hektar tanah. - Foto hiasan BH
Pendatang asing mampu membayar sewa tanah yang mahal antara RM250 hingga RM500 sebulan bagi 0.4 hektar tanah. - Foto hiasan BH

80 peratus sayur Pulau Pinang dari kebun haram

JOHOR BAHRU: Pendatang asing yang mengusahakan kebun sayur secara haram di Pulau Pinang didakwa menguasai hampir 80 peratus rantaian perbekalan sayuran di negeri berkenaan sejak lima tahun lalu.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur Pulau Pinang, Ibrahim Roslan, berkata ia berikutan mereka menguasai perbekalan sayuran ke semua sektor termasuk borong, peruncitan dan pasar malam, malah mengambil alih perbekalan sayuran ke kantin industri di negeri itu.

Beliau berkata, senario berkenaan menyebabkan kira-kira 30 peratus pengusaha kebun tempatan terjejas dan hampir gulung tikar.

Katanya, terdapat 216 pengusaha kebun tempatan berdaftar di Pulau Pinang, namun disebabkan pelbagai isu termasuk pendatang asing yang mula menguasai perbekalan sayuran di negeri ini sejak 10 tahun lalu, hanya tinggal 60 sahaja pekebun tempatan yang kekal bertahan dan aktif setakat ini.

"Hampir semua sektor perbekalan sayuran di Pulau Pinang dikuasai pendatang asing terutama warga Bangladesh. Mereka hanya gagal menembusi pasaran bagi pasar raya sahaja kerana ia memerlukan syarat ketat terutama Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP), namun sejak lima tahun lalu keadaan semakin kritikal.

"Pengusaha kebun tempatan kini hanya mampu menembusi antara 20 hingga 40 perbekalan sayuran di Pulau Pinang dan jika ia berterusan tanpa kawalan, sektor sayuran tempatan mungkin lumpuh tidak lama lagi.

"Pendatang asing juga menguasai perbekalan sayuran dan lot niaga termasuk di Pasar Besar Bukit Mertajam, malah kantin industri di negeri ini yang menjadi antara pelanggan terbesar pengusaha tempatan kini dikuasai mereka sepenuhnya kerana menawarkan harga lebih rendah kerana kos lebih murah," katanya kepada BH.

Bayar sewa lebih mahal

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, hasil cerapan dan pemantauan ahli persatuan berkenaan menganggarkan terdapat lebih 100 hektar kebun sayur diusahakan pendatang asing di Pulau Pinang.

Katanya, sikap rakyat tempatan yang mahu keuntungan segera dengan menyewakan tanah mereka kepada pendatang asing, selain menyewakan lesen perniagaan mereka, sangat mengecewakan dan bakal 'membunuh' pengusaha tempatan.

"Menerusi risikan ahli kami, pendatang asing mampu membayar sewa tanah yang mahal antara RM250 hingga RM500 sebulan bagi 0.4 hektar tanah, malah untuk lesen perniagaan termasuk di pasar, pasar malam dan premis perniagaan, mereka membayar sewa antara RM1,500 hingga RM3,000.

"Kebanjiran pendatang asing di Pulau Pinang menyebabkan mereka mampu mewujudkan kartel rantaian perbekalan sayuran iaitu bermula dari kebun dan logistik sehingga membuka premis kedai runcit bangsa mereka.

"Ini kerana prinsip pendatang asing yang hanya membeli dan menyokong premis serta jualan daripada bangsa mereka sahaja," katanya.

Ibrahim berkata, kebanyakan pendatang asing yang mengusahakan kebun sayur turut mampu menggajikan warga asing lain, selain mempunyai peralatan dan kelengkapan lebih hebat daripada pengusaha tempatan.

Katanya, jaringan kuat sesama pendatang asing menyebabkan mereka mampu membeli traktor dan lori bagi melancarkan perusahaan yang diusahakan itu.

"Ada kalangan pekebun warga asing ini mempunyai permit iaitu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), mengahwini warga tempatan atau lari daripada majikan lama," katanya.

Siasat aduan pengguna

Sementara itu, Ibrahim berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang ada menghubungi persatuan berkenaan bagi menyiasat aduan pengguna yang mendakwa ada isu membabitkan sayuran dijual di pasaran negeri ini.

Namun, katanya, selepas pemeriksaan rekod dibuat, sayuran itu bukan dikeluarkan pengusaha kebun tempatan, sebaliknya disyaki hasil keluaran warga asing terbabit.

"Saya tidak bertanya lanjut isu sebenar kepada Jabatan Kesihatan, namun mengesyaki ia membabitkan kualiti sayuran terutama paras bahan kimia termasuk baja dan racun yang tinggi serta tidak mengikut peraturan.

"Sebenarnya hasil sayuran keluaran pengusaha tempatan dipantau Jabatan Pertanian negeri dan ujian sampel dilakukan agensi itu sebelum keluaran pekebun berdaftar dibenar dijual di pasaran," katanya.

"Bagi penentuan harga sayuran di pasaran pula, pekebun tempatan akan menghantar hasil kepada pemborong terlebih dulu bagi penyeragaman harga selepas mengambil kira kos dan bekalan sebelum ia dipasarkan secara meluas berbanding pendatang asing yang akan meletak harga lebih murah daripada harga sayuran pengusaha tempatan," katanya.

Berita Harian X