Rabu, 20 March 2024 | 9:13pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Bayi tiga bulan meninggal dunia di rumah pengasuh

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia tiga bulan enam hari meninggal dunia di rumah pengasuhnya di Presint 15, Putrajaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata bayi malang itu baru sahaja dihantar dua hari ke rumah pengasuh tersebut.

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Putrajaya pada jam 1.04 petang semalam.

Katanya, pengadu menerima bayi berkenaan yang dibawa pengasuh pada jam 11.45 pagi, namun ketika tiba di zon merah bayi berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Pengasuh turut memaklumkan telah melakukan bantuan pernafasan sejak dari rumah dan diteruskan di unit kecemasan selama 30 minit namun bayi itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.16 tengahari," katanya ketika dihubungi.

Asmadi berkata, hasil pemeriksaan fizikal ke atas bayi itu tidak menemui sebarang kesan kecederaan justeru mangsa dirujuk ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat hari ini.

Menurutnya, polis telah merakam percakapan daripada kedua ibu bapa mangsa dan pengasuh.

Asmadi berkata, bapa mangsa memaklumkan anaknya dihantar ke rumah pengasuh ketika hari kejadian dalam keadaan tidak sihat kerana mengalami batuk seminggu sebelum ini.

Katanya, ibu mangsa pula berkata, Isnin lalu anaknya telah dihantar ke sebuah Klinik di Presint 18 untuk pemeriksaan kesihatan dan telah dimaklumkan doktor bahawa keputusan X-Ray menunjukkan mangsa tidak mengalami sebarang masalah.

"Ibu bayi itu turut memaklumkan, doktor di klinik itu memberikan ubat batuk dan ubat gatal dan dia hanya memberikan ubat batuk kepada anaknya itu," katanya.

Asmadi berkata, rakaman percakapan pengasuh pula mendapati, dia menjaga empat kanak-kanak termasuk mangsa dan bayi berkenaan dihantar pada jam 8 pagi oleh ibunya dan berada dalam keadaan hendak tidur dan tiada masalah.

Namun, katanya dia dimaklumkan bahawa mangsa ada mengalami sedikit batuk dan kemungkinan berkahak.

Menurutnya, selepas solat Duha, pengasuh menyedari mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila mahu dikejutkan untuk menyusu.

Katanya, pengasuh turut melakukan bantuan pernafasan kepada mangsa namun mendapati terdapat sedikit darah keluar di lubang hidung kiri bayi berkenaan.

"Pengasuh berkenaan terus menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan kepada ibu bapanya lalu membawa mangsa ke Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan.

"Difahamkan, pengasuh pernah mengikuti kelas bantuan pernafasan beberapa kali ketika bekerja di sebuah hotel sebelum ini."

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga keputusan bedah siasat diperoleh," katanya.

Berita Harian X