Rabu, 20 March 2024 | 6:34pm
Pengerusi AESTOM, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg
Pengerusi AESTOM, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg

AESTOM cadang perhatian khusus diberikan berkaitan kawalan pengurusan Tourism Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Bekas Kakitangan Tourism Malaysia (AESTOM) mencadangkan supaya perhatian khusus diberikan terhadap peruntukan kuasa mutlak menteri berkaitan kawalan pengurusan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) atau Tourism Malaysia.

AESTOM turut mencadangkan fungsi Lembaga Pengarah LPPM, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai badan pengawal kepada LPPM, dalam krisis yang melanda Tourism Malaysia, baru-baru ini.

Cadangan itu disarankan susulan krisis yang melanda Tourism Malaysia, baru-baru ini, berkaitan pelucutan jawatan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Pengerusi AESTOM, Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg, berkata persatuan itu akur dengan peruntukan dalam Akta LPPM yang memberi kuasa kepada menteri untuk melantik dan melucutkan jawatan Ketua Pengarah.

Katanya, perkara itu juga diperakukan oleh semua pihak, seperti Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha MoTAC dan Pengerusi LPPM, malah tindakan menteri untuk terus memberi peluang kepada calon dalam kalangan Pegawai Kanan Pengurusan LPPM sebagai Ketua Pengarah baharu, amat dialu-alukan.

"Menyedari hakikat bahawa isu ini, seperti beberapa isu berkaitan dengan LPPM sebelum ini telah memberi kesan negatif kepada imej dan semangat warga kerjanya yang mana cara penyelesaian perkara ini membuka ruang untuk tuduh menuduh di antara satu sama lain sehingga ke peringkat mahkamah.

"Keadaan seperti ini, sekiranya berlarutan akan mengelirukan keadaan dan dikhuatiri secara tidak langsung, menghakiskan lagi tahap keyakinan dan semangat kerjasama penggiat industri pelancongan dengan pihak LPPM.

"Maka kami daripada AESTOM ingin mencadangkan supaya perhatian khusus diberi kepada dua perkara iaitu peruntukan kuasa mutlak menteri berkaitan dengan kawalan pengurusan LPPM serta peranan Lembaga Pengarah LPPM, MOTAC dan JPA sebagai badan pengawal kepada LPPM, dalam krisis seperti ini.

"Sebagai badan pengawal, pihak ini harus bertindak mengikut bidang kuasanya dan tidak hanya menyerah kepada pihak lain," katanya menerusi satu kenyataan.

Mirza berkata, tindakan beberapa menteri sebelum ini terhadap pengurusan LPPM yang berpaksikan kuasa mutlak dalam Akta LPPM, tanpa rujukan dan nasihat yang jelas daripada badan pengawal membawa lembaga itu ke dalam keadaan kontroversi.

"Ini terutama apabila disentuh soal kenaikan pangkat, disiplin dan tatatertib. Kami harap pihak berkaitan, terutama MOTAC dan Lembaga LPPM, dapat memberi perhatian lebih serius untuk memperkukuhkan peranan Jawatankuasa Kenaikan Pangkat dan Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib, demi memelihara integriti jabatan dan maruah pegawai perkhidmatan awam pada keseluruhannya.

"Kami yakin bahawa kepimpinan KSU MoTAC yang berpengalaman luas dalam perkhidmatan ini, yang peka dengan keperluan mengekalkan imej positif jabatan demi memelihara semangat kerja kakitangannya dalam mencapai misi jabatan dan matlamat pelancongan negara, akan memberi perhatian kepada perkara ini," katanya.

Pada 24 Februari lalu, tular di media sosial surat penamatan perkhidmatan Ammar sebagai Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang berkuat kuasa pada 26 Februari. Surat berkenaan ditandatangani Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Tiong King Sing.

Pada 27 Februari, LPPM secara rasmi melantik bekas Pengarah Tourism Malaysia, P Manoharan, sebagai Ketua Pengarahnya yang baharu, berkuat kuasa 26 Februari.

Berita Harian X