Rabu, 20 March 2024 | 4:51pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Isu bekalan minyak masak paket panas

KUALA LUMPUR: Isu kesukaran rakyat memperoleh minyak masak paket bersubsidi mendapat perhatian wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara itu disentuh ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Perbekalan Tambahan (2023) 2024 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta kementerian membangunkan sistem pengesanan pengedaran minyak masak paket sebagai usaha mengelak ketirisan dan penyeludupan.

Katanya, sistem pengesanan itu termasuk dengan meletakkan cip khas pada paket minyak masak paket yang dikeluarkan syarikat penapisan dan pembungkusan yang sudah diberikan subsidi.

Katanya, dengan pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI), usaha itu boleh direalisasikan kerana peruntukan tambahan yang diperoleh itu adalah besar.

"Jika ada cip ini kita dapat mengetahui di mana minyak masak ini diedar sama ada di Pulau Sebatik , Golok atau Hatyai dan saya yakin teknologi ini boleh dilaksanakan," katanya.

Beliau juga mencadangkan harga minyak masak paket yang kini dijual pada harga RM2.50 sekilogram kepada mungkin RM3.50 bagi mengelak ketirisan dan penyeludupan.

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan sistem naziran dilaksanakan bagi mengesan ketirisan dan kes penyeludupan minyak masak paket kerana masalah rakyat mendapat bekalan.

Katanya, adalah satu yang pelik, minyak masak paket ini dengan harga yang murah masih sukar diperoleh malah dikawal penjualan di peringkat runcit.

Ia dihadkan dua bungkus bagi sekeluarga dan hanya boleh dibeli di kaunter kedai.

Turut berbahas isu sama, Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang membangkitkan kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket walaupun ditetapkan pengeluaran sehingga 60,000 tan sebulan .

"Dalam tinjauan saya, banyak pasar raya memang tidak ada stok langsung, kalau ada stok pun hanya bertahan dua jam saja jadi mana pergi pengeluarannya 60,000 tan metrik minyak masak paket ini,

"Kita hendak tahu mengapa masih ada ketirisan berlaku, atau adakah berlaku penyeludupan," katanya.

Berita Harian X