Rabu, 20 March 2024 | 4:21pm
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia, di Kuching, hari ini. - Foto NSTP/Nadim Bokhari

Sarawak terbabit pembangunan Nusantara, Indonesia

KUCHING: Firma Sarawak sudah membabitkan diri dalam pembangunan di wilayah Kalimantan Timur, Indonesia khususnya di ibu negara baharu negara jiran itu, Nusantara.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata ia menerusi penyertaan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam projek Empangan Hidro Elektrik (HEP) Mentarang di Malinau, Kalimantan Timur.

Beliau berkata, penyertaan di dalam projek mega itu menjadi langkah penting bagi sektor tenaga boleh diperbaharui Sarawak.

"SEB sudah melabur dan mempunyai pegangan 25 peratus ekuiti di dalam projek pembangunan empangan hidro elektrik di Malinau itu.

"Apabila siap nanti, empangan hidro elektrik itu akan menjana tenaga di Kalimantan khususnya di ibu kota Nusantara yang sedang dibangunkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 di Bilik Mesyuarat Utama, Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Juma'ani Tuanku Bujang; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.

Sebanyak 11 agensi kerajaan menerima sumbangan Aidilfitri iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara Malaysia serta Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN).

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selain pembangunan empangan HEP Mentarang, Sarawak juga bersedia untuk terus membabitkan diri dalam pembangunan sumber tenaga lain di Kalimantan.

"Ini kerana pihak Indonesia bercadang untuk mengembangkan janakuasa hidro elektrik dan kita sudah pun berada di sana (menerusi penyertaan SEB), jadi kita akan terus bersama-sama melaksanakan pembangunan tenaga di negara itu," katanya.

Menurutnya lagi, selain penyertaan dalam pembangunan sektor tenaga, Sarawak juga bekerjasama dalam sektor perdagangan dengan Kalimantan.

"Sekarang sudah ada rangkaian kerjasama antara Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Sarawak Chinese Chamber of Commerce dengan Kamar Dagang Industri Indonesia (KADIN) dan banyak syarikat Sarawak sudah menjalankan perniagaan di Kalimantan.

"Kita juga sedang menunggu mereka (Indonesia) mengizinkan penerbangan antara Kuching dan Pontianak.Apabila ada penerbangan antara dua wilayah itu, ia akan membuka lebih banyak peluang kerjasama kita dalam pelbagai bidang," katanya.

Semalam, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin berkata, syarikat Malaysia harus mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur, terutamanya di Samarinda dan Balikpapan berhampiran dengan ibu kota baharu Nusantara.

Syed Md Hasrin yang mengetuai delegasi dari kedutaan Malaysia di Jakarta mengadakan lawatan ke Kalimantan berkata, terdapat banyak peluang untuk syarikat Malaysia menyumbang kepada pembangunan Nusantara.

Berita Harian X