Rabu, 20 March 2024 | 3:46pm
Kebun sayur haram diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur
Kebun sayur haram diusahakan pendatang asing di Alor Gajah, Melaka. - Foto ihsan Persekutuan Penanam Sayur

Persatuan pengguna gesa kerajaan pantau kebun haram diusahakan pekerja asing

KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan pengguna meminta pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih ketat bagi mengekang pembekalan sayur-sayuran yang diusahakan warga asing di kebun haram.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff, berkata pekerja asing yang mengusahakan tanaman sayur bukan sahaja tidak mengutamakan kebersihan, malah menggunakan racun perosak secara berlebihan sehingga memberi kemudaratan kepada pengguna.

Katanya, tanaman sayur diusahakan warga asing juga sering mendapat permintaan tinggi daripada penjual kerana harga ditawarkan lebih rendah berbanding pengusaha tempatan.

"Pemborong lebih gemar ambil sayuran dengan warga asing kerana mereka jual dengan harga murah, tidak memerlukan modal besar kerana menggunakan racun daripada pasaran gelap.

"Namun sayuran ditanam mereka ini, mendatangkan mudarat kepada kesihatan pengguna. Sekiranya perkara ini dibiarkan, berkemungkinan besar pengguna berasa tidak selamat dan akan memilih untuk membeli sayuran import," katanya kepada BH, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan ladang diusahakan secara haram oleh warga asing dan tidak dipantau berisiko membahayakan kesihatan pengguna berikutan salah guna racun makhluk perosak (RMP), selain penggunaan bahan itu secara haram.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi, berkata tindakan sedemikian serta lain-lain salah laku susulan kegiatan warga asing yang tidak dipantau akan menyebabkan pengeluaran hasil tanaman tidak selamat untuk dimakan.

Beliau menegaskan, ladang atau kebun sayur haram diusahakan warga asing tidak dipantau Jabatan Pertanian terutama dari segi pematuhan Amalan Pertanian Baik (APB) dalam aktiviti pertanian diusahakan.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan dan Penyelaras Pertanian Asli Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV Subbarow, berkata hanya penguatkuasaan yang ketat sahaja mampu menyelesaikan penanaman sayuran menggunakan racun secara berlebihan.

"Jabatan Kesihatan Negeri mestilah membuat pemeriksaan jenis racun yang digunakan oleh mereka ini. Kebanyakan daripada pekerja asing ini akan menanam sayuran ini di merata tempat, asal ada tempat kosong sahaja mereka akan tanam sayur. Tetapi guna racun yang diharamkan oleh kerajaan.

"Mereka suka guna racun itu kerana harganya yang lebih murah dan menggunakan ia secara berlebihan kerana tidak mengikut arahan ditetapkan. Malah mereka ini juga tidak peka dengan keburukan racun berkenaan," katanya.

Berita Harian X