Rabu, 20 March 2024 | 3:25pm
(Gambar fail) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - FOTO BERNAMA

Pengisian program Rakan Muda perlu dijadikan agenda nasional - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pengisian program Rakan Muda dijadikan agenda nasional, dengan mengambil pendekatan menyeluruh bagi memastikan waktu lapang golongan belia diisi dengan aktiviti bermanfaat.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program anjuran Rakan Muda perlu turut menjadi platform untuk pengukuhan integrasi nasional dan perpaduan kaum.

Katanya, beliau menekankan perkara itu susulan penurunan skor Indeks Belia Malaysia daripada 48.49 peratus pada 2021 kepada 42.43 peratus pada 2022.

"Penurunan skor itu menunjukkan belia kurang terbabit aktiviti semasa waktu lapang. Jika perkara ini tidak diatasi, dikhuatiri belia melakukan perkara tidak berfaedah dan menjadi punca kepada kebejatan sosial," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bil 1/2024 di Parlimen, hari ini.

Berhubung pelaksanaan program Rakan Muda 2023, Ahmad Zahid berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mencapai penyertaan melebihi sasaran awal satu juta, membabitkan penyertaan seramai 1.11 juta peserta melalui 4,132 aktiviti.

Bagaimanapun, beliau berkata, penyelarasan lebih baik antara kementerian dan agensi diperlukan bagi memastikan semua data program serta penyertaan program Rakan Muda dapat disatukan, sekali gus mencapai sasaran penyertaan secara fizikal dan digital sebanyak 11 juta tahun ini.

Katanya, beliau turut mengambil maklum mengenai pelbagai isu dihadapi golongan belia, dan intervensi serta pelan pemerkasaan holistik adalah perlu dengan membabitkan sektor ekonomi dan sosial yang berpacukan data belia.

Beliau berkata, antara isu dihadapi golongan belia ialah peluang pekerjaan, penyalahgunaan dadah, pornografi, buli siber, kesihatan mental, kewangan, kenegaraan dan demokrasi.

Berkongsi antara perkara yang diputuskan dalam mesyuarat itu pula, Ahmad Zahid berkata, Majlis Belia Malaysia (MBM) perlu mengambil langkah progresif untuk menjayakan penguatkuasaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan) 2019 (Akta A1602) pada 1 Januari 2026, terutama memastikan berlaku peralihan transisi kepimpinan pertubuhan belia.

Beliau berkata, mesyuarat turut mengenal pasti intervensi strategik bagi menangani isu dan cabaran dihadapi golongan belia, melalui pembangunan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia yang akan dilancarkan sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Kebangsaan 2024 yang dijadualkan disambut pada Mei depan di Melaka.

Bagi menyokong ekonomi gig pula, Ahmad Zahid berkata, Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) telah memperluas skop melalui penambahan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Gig bagi lapan bidang kursus, termasuk penawaran kursus kemahiran berorientasikan elemen sukan.

Beliau berkata kursus berkenaan menyasarkan penyertaan 2,100 pelajar TVET ILKBS dan 3,300 pekerja Gig. – BERNAMA

Berita Harian X