Selasa, 19 March 2024 | 6:09pm
Tiga produk kosmetik dibatalkan notifikasi kerana dikesan mengandungi racun berjadual. - Foto ihsan KKM
Tiga produk kosmetik dibatalkan notifikasi kerana dikesan mengandungi racun berjadual. - Foto ihsan KKM

KKM batal notifikasi tiga produk kosmetik mengandungi racun berjadual

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) membatalkan notifikasi tiga produk kosmetik kerana dikesan mengandungi racun berjadual, sekali gus tidak membenarkan lagi ia dijual di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata produk berkenaan ialah Toner Treatment EWSB yang dikesan mengandungi hidrokuinon dan tretinoin; N Glow EWSB (hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate); dan Glory Cosmetics Facecream yang dikesan mengandungi merkuri.

Beliau berkata, pembatalan notifikasi produk-produk itu dibuat oleh pengarah kanan perkhidmatan farmasi dan produk berkenaan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

"Merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

"Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya dalam kenyataan.

Dr Muhammad Radzi memberitahu produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan terbabit tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini.

Dr Muhammad Radzi berkata, hidrokuinon antaranya boleh menyebabkan bahan kulit yang disapu mengalami kemerahan, manakala tretinoin boleh mengakibatkan kulit kemerahan, tidak selesa, pedih, menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Betamethasone 17-valerate pula menyebabkan kulit muka menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kemudaratan.

Sehubungan itu, beliau menggesa penjual dan pengedar produk terbabit menghentikan serta-merta penjualan serta pengedaran semua produk berkenaan kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu berdepan hukuman maksimum denda RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X