Selasa, 19 March 2024 | 6:04pm
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada Sidang Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, pada Sidang Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA

Kerajaan lunas RM48.06 bilion hutang 1MDB

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membayar sejumlah RM48.06 bilion daripada keseluruhan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) setakat ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata jumlah itu termasuk bayaran AS$3 bilion (RM14.2 bilion) yang dibuat pada Mac tahun lalu.

Katanya, baki hutang 1MDB perlu dibayar bagi sukuk dengan nilai prinsipal adalah RM5 bilion yang akan matang pada 2039.

"Di bawah perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 2020, kerajaan sudah menerima bayaran daripada Goldman Sachs sebanyak AS$2.5 bilion (RM11.83 bilion) dengan jaminan pengembalian aset AS$1.4 bilion (RM6.63 bilion) sehingga 2025," katanya.

Beliau berkata demikian menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

Tahun lalu, katanya, Goldman Sachs sudah memfailkan satu permohonan timbang tara di Mahkamah London mengenai pertikaian berkenaan jaminan itu.

"Kerajaan dengan pembabitan pelbagai agensi dan 1MDB giat meneruskan usaha mendapatkan aset semula 1MDB di seluruh dunia.

"Kerajaan yakin usaha ini akan membawa hasil untuk meningkatkan kadar aset 'recovery' dengan lebih elok," katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan subsidi RON95 bersasar hanya akan diperhalusi selepas kerajaan menyelesaikan pelaksanaan ke atas diesel.

Buat masa ini, katanya, penyasaran difokuskan kepada diesel memandangkan terlalu banyak ketirisan berlaku ke atas produk berkenaan.

"Untuk subsidi RON95 akan diperhalusi selepas kita selesai (subsidi bersasar) diesel nanti," katanya.

Menyentuh skim persaraan baharu penjawat awam, beliau berkata, kerajaan akan memastikan kaedah persaraan baharu kekal adil serta memenuhi keperluan mereka.

Katanya, skim persaraan baharu dilaksana berikutan model persaraan sedia ada jika diteruskan, akan membabitkan peningkatan kos mencecah RM120 bilion menjelang 2040, berbanding komitmen semasa sekitar RM30 bilion.

"Bagi 2023, komitmen pencen penjawat awam adalah RM32.6 bilion iaitu memerlukan tambahan RM2.1 bilion berbanding unjuran asal Belanjawan 2023 sebanyak RM30.5 bilion.

"Untuk itu, kerajaan perlu menyemak dan meneliti kaedah terbaik. Kerajaan masih dalam proses memuktamadkan cadangan pembaharuan pencen, yang mana pembaharuan pencen hanya akan dilaksana kepada penjawat awam baharu," katanya.

Menjawab isu pengukuhan ringgit, Amir Hamzah berkata, kerajaan tidak akan mengarahkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menjual aset sebagai sebahagian usaha untuk mengawal kejatuhan ringgit.

"Kita galakkan jika ada lebihan boleh dipulangkan. Ini akan mengukuhkan ringgit pada masa sekarang," katanya.

Berita Harian X