Selasa, 19 March 2024 | 5:35pm
Kebun sayur haram yang dikatakan diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulai Pinang. - Foto Persekutuan Penanam Sayur
Kebun sayur haram yang dikatakan diusahakan pendatang asing di Seberang Prai, Pulai Pinang. - Foto Persekutuan Penanam Sayur

Pendekatan komprehensif tangani isu warga asing kuasai rantaian sayur - Saifuddin

PUTRAJAYA: Isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayur-sayuran perlu ditangani secara menyeluruh dengan lebih komprehensif, bukan sekadar 'menuding jari' kepada satu pihak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, menegaskan isu terbabit bukan perkara baharu kerana ia membabitkan banyak pihak termasuk kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya dahulu pernah berada di KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), pernah ada libat urus yang lama dengan Kementerian Pertanian kerana ini bukan perkara baharu, bukan perkara semalam atau baru setahun apabila kerajaan MADANI ambil alih.

"Saya kata bahawa perkara dalam keterjaminan bekalan rantaian makanan ini, memerlukan satu tindakan komprehensif semua pihak, maknanya semua yang terbabit daripada kerajaan negeri, PBT, ...di mana mereka salurkan bekalan ini, di pasar, lesen pasar ini di bawah PBT," katanya pada sidang media hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution. - Foto fail NSTP/Eizairi Shamsudin

Beliau mengulas laporan BH mengenai rantaian perbekalan sayur-sayuran di Malaysia didakwa mula dikuasai pendatang asing yang turut dipercayai makin memperluaskan kebun diusahakan mereka secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan hampir 1,000 hektar.

Kegiatan berkenaan yang dikatakan mula aktif sejak lima tahun lalu didedahkan Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia yang membuat pemantauan dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara.

Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, menegaskan isu terbabit perlu ditangani oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kerana peruntukan undang-undang berkaitan perkara berkenaan ada pada dua kementerian itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, isu bekalan sayur dikuasai pendatang asing membabitkan isu yang lebih besar dan perlu dilihat secara menyeluruh.

"Sebab kalau kita buat tindakan penguatkuasaan, kita pergi pasar borong sebagai contoh, mereka berniaga di pasar, siapa punya meja? ...rakyat tempatan. Rakyat tempatan sewakan kepada dia dan kadang-kadang dia buat rumah secara haram di atas satu tanah, apabila tanya, mereka sewa dengan orang tempatan.

"Jadi tak selesai satu bab sebab itu orang tempatan juga perlu diingatkan bahawa melindungi secara tidak sah (pendatang asing) ini adalah salah dari segi undang-undang dan isu bekalan sayur dikuasai (warga asing) tak boleh diselesai secara sendiri, perlu dilihat secara menyeluruh," katanya.

Berita Harian X