Selasa, 19 March 2024 | 5:12pm
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini. - BERNAMA

Hasil jualan nombor plat disalur ke Kumpulan Wang Disatukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menerima inisiatif dana daripada hasil penjualan nombor pendaftaran kenderaan, sebaliknya hasil kutipan jualan disalurkan kepada Kumpulan Wang Disatukan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah kutipan keseluruhan dari jualan nombor pendaftaran kenderaan bagi 2023 ialah RM311.8 juta, termasuk penjualan nombor pendaftaran istimewa (NPI) berjumlah RM21 juta.

Penjualan NPI bermula pada 2019, manakala tawaran bidaan melalui NPI bermula pada tahun 2023 dengan nombor siri M_M.

"Bagi 2024, sebahagian penjualan NPI akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu kutipan hasil tawaran bidaan NPI dan perincian inisiatif dilaksanakan menggunakan hasil kutipan NPI sejak 2018 sehingga 2023.

Menerusi sebahagian penjualan NPI itu, Loke berkata, kerajaan bersetuju terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak bercadang memperkenalkan platform khas bagi memudahkan urusan perdagangan nombor plat kenderaan oleh orang ramai.

Katanya, ia bagi mengelak berlaku penipuan penjualan nombor plat kenderaan dalam kalangan masyarakat.

Loke mengakui ada pihak ketiga atau ejen terbabit dalam penipuan penjualan nombor plat kenderaan dengan menawarkan perkhidmatan secara dalam talian terutama di media sosial.

"Kita tidak galakkan penjualan nombor plat kerana ia didaftarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Sesiapa yang nak beli nombor plat sepatutnya membida menerusi JPJ tetapi ada ejen dan pihak ketiga bida nombor tetapi tidak berdaftar kenderaan terlebih dahulu bagi tempoh enam bulan.

"Ada yang daftar untuk motosikal sebab mereka nak jual nombor itu pada harga lebih tinggi kepada sesiapa berminat," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan isu aktiviti penjualan nombor pendaftaran kenderaan di media sosial oleh scammer dan sama ada kerajaan akan menyediakan platform rasmi untuk mengatasi penipuan.

Berita Harian X