Selasa, 19 March 2024 | 10:34am

'Attar Azim berazam gigih belajar walaupun kini yatim piatu'

TANJUNG MALIM: Budak lelaki yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya akibat nahas di Kuala Krai, Kelantan pada 2 Mac lalu, kembali memulakan persekolahan di tempat baru apabila mendaftar masuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Trolak Utara di sini, hari ini.

Meskipun lewat seminggu mendaftar masuk, namun anak yatim piatu, Attar Azim Syukran Jamil, 9, kelihatan ceria dan bersemangat ketika tiba di pintu masuk sekolah berkenaan seawal 7.20 pagi.

Dia yang mengenakan pakaian seragam berwarna biru, ditemani ibu saudara, Umi Salwa Ab Hamid, 40, dan sepupunya, Fareez Uzair, 10.

Attar Azim berkata, dia tidak sabar berkenalan dengan rakan baharu dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Attar rasa excited (teruja). Seronok nak jumpa kawan baru.

"Tak sabar nak jumpa kawan-kawan, tak sabar nak belajar," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan kanak-kanak Tahun Tiga itu akan bertukar sekolah dari SK Desa Pandan, Kuala Lumpur ke SK Trolak Utara, Felda Trolak Utara.

Sementara itu, Umi Salwa berkata, segala urusan pertukaran sekolah anak saudaranya itu dipermudahkan dan selesai semalam.

"Attar nampak seronok, cuma jangan terus sentuh emosinya, dia tak boleh lagi (lupakan kejadian itu). Moga persekolahannya di sini baik-baik sahaja.

"Pagi tadi Attar bangun awal untuk sahur. Kemudian, saya siapkan keperluan sekolah Attar dan Fareez.

"Saya bekerja pada sebelah petang, jadi saya boleh hantar mereka pada pagi. Tamat waktu sekolah, abang saya (Nor Azam Ab Hamid, 45, yang bertugas sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di sekolah sama akan menjemput mereka," katanya memaklumkan jarak kediaman keluarga ke sekolah berkenaan kira-kira 300 meter.

2 Mac lalu, media melaporkan nahas membabitkan dua kenderaan yang meragut nyawa empat beranak di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan.

Dalam nahas jam 1.40 tengah hari itu, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, bersama isteri Noor Aishah Razali, 35, dan anak mereka, Lufya Adeena, 1, disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra.

Attar Azim adalah satu-satunya penumpang yang terselamat dalam kenderaan dinaiki keluarga itu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Lima sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

Jenazah Syukran Jamil dan Noor Aishah bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, serta Lufya Adeena, selamat dikebumikan di dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, jam 11 malam pada 3 Mac lalu.

Attar Azim memulakan hari pertama di SK Trolak Utara sambil ditemani ibu saudaranya, Umi Salwa, pagi tadi. NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Attar Azim memulakan hari pertama di SK Trolak Utara sambil ditemani ibu saudaranya, Umi Salwa, pagi tadi. NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Berita Harian X