Selasa, 19 March 2024 | 8:23am

50 pesawah rugi besar, padi rosak akibat kemarau

PASIR MAS: Lebih 50 pesawah membabitkan kawasan lebih 200 hektar di Kampung Aur Duri, di sini, buntu apabila sebahagian besar tanaman yang diusahakan rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau.

Mereka mendakwa, sebahagian besar padi yang diusahakan sejak Disember lalu, mulai rosak sejak dua minggu lalu, manakala sebahagian lagi hanya mampu bertahan seminggu sahaja.

Lebih malang, impian pesawah berkenaan yang mahu mengaut keuntungan juga tidak kesampaian, sebaliknya berdepan kerugian puluhan ribu ringgit setiap seorang.

Tinjauan di kawasan berkenaan, mendapati, tanah sawah di lokasi berkenaan kering dan merekah, manakala tali air yang menjadi punca air mereka juga kering kontang.

Bagaimanapun, lokasi sawah berkenaan tidak sampai satu kilometer (km) dari Sungai Kelantan dan terdapat juga pam Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Sungai berkenaan, namun penduduk mendakwa air tidak sampai ke sawah mereka.

Pesawah, Rasul Zulkifli, 26, berkata situasi yang berlaku sangat mengecewakan kerana sudah tiga musim berturut-turut dia mengalami kerugian akibat masalah air.

"Saya mengusahakan sawah seluas enam hektar dan hampir keseluruhan sudah rosak. Tinggal sebahagian kecil sahaja masih selamat namun hanya mampu bertahan seminggu sahaja lagi.

"Saya buntu, modal dikeluarkan membabitkan puluhan ribu, beberapa ekor lembu juga sudah dijual kerana mahu dijadikan modal padi dengan harapan mampu memperoleh keuntungan.

"Namun sebaliknya yang berlaku apabila saya berdepan kerugian dan modal pun lebur, macam mana nak bayar hutang dengan Agrobank pun saya tidak tahu," katanya ketika ditemui di sini.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut meluahkan rasa kesal kepada KADA apabila didakwa gagal menyelesaikan masalah yang berlaku menyebabkan pesawah berdepan kerugian.

"Sepatutnya KADA sedar setiap tahun berlaku musim kemarau dan sudah ada langkah proaktif yang perlu dilakukan. Kita juga akui musim kemarau namun lokasi sawah kami begitu dekat dengan Sungai Kelantan dan air di sungai berkenaan masih banyak, kenapa tidak dapat disalurkan air?.

"Kami juga melihat ada pam di sungai berkenaan namun air tidak juga sampai ke sawah kami. Inilah masalah kami saban musim sejak beberapa tahun lalu, sampai bila kami terpaksa berdepan kerugian.

Pesawah, Rasul (kiri) bersama Mohd Arif menunjukkan tali air yang menjadi punca air kering kontang mengakibatkan tanah padi seluas 200 hektar yang diusahakan mereka rosak. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pesawah, Rasul (kiri) bersama Mohd Arif menunjukkan tali air yang menjadi punca air kering kontang mengakibatkan tanah padi seluas 200 hektar yang diusahakan mereka rosak. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

"Justeru, saya meminta pihak KADA supaya menyelesaikan masalah kami yang ketiadaan air ini supaya dapat mengurangkan lebih banyak kerugian," katanya yang sepatutnya padi berkenaan dapat dituai pada akhir bulan depan.

Rakannya, Mohd Arif Mat Ghani, 30, yang mengusahakan sawah seluas 28 hektar sejak 15 tahun lalu berkata, dia berdepan kerugian hampir RM80,000 sekiranya masalah air tidak dapat diselesaikan dalam masa beberapa hari.

"Keadaan padi saya sudah tenat, sebahagian besar sudah bertukar kuning dan tidak boleh dibaja akibat tanah yang kering.

"Saya amat berharap pihak KADA mampu menyelesaikan masalah air secepat mungkin bagi mengelak lebih ramai pesawah berdepan kerugian," katanya.

Pesawah menunjukkan padi yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau. Tinjauan di Bendang Kampung Aur Duri, Pasir Mas, mendapati, tanah sawah di kawasan berkenaan kering dan merekah, manakala tali air yang menjadi punca air mereka juga kering kontang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pesawah menunjukkan padi yang diusahakan mereka rosak akibat ketiadaan air berikutan musim kemarau. Tinjauan di Bendang Kampung Aur Duri, Pasir Mas, mendapati, tanah sawah di kawasan berkenaan kering dan merekah, manakala tali air yang menjadi punca air mereka juga kering kontang. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X