Isnin, 18 March 2024 | 8:02pm
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh (tengah) melakukan gimik pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) melalui Inisiatif REDI dan Malaysia Save Food Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur, hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh (tengah) melakukan gimik pelancaran Bazar Ramadan Rahmah (BRR) melalui Inisiatif REDI dan Malaysia Save Food Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Jalan Raja Alang di Kuala Lumpur, hari ini.

Tiada harga siling sayuran - Fuziah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak bercadang mengenakan harga siling terhadap penjualan bekalan sayur-sayuran.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata bagaimanapun KPDN akan tetap memantau, sekali gus mengambil tindakan berdasarkan undang-undang percatutan terhadap peniaga yang menaikkan harga sayur-sayuran secara melampau.

"Kita kena faham rantaian bekalan dan kos pengeluaran bagi pekebun serta pengangkutan, selain ada harga borong dan runcit.

"Jadi, KPDN tidak mengenakan sekatan atau harga siling tetapi kita pantau supaya tidak berlaku pencatutan. Kalau naik luar biasa, kita ambil tindakan," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung jangkaan kenaikan harga sayur sehingga 25 peratus di pasaran susulan bekalan itu yang diramal terjejas.

Laporan BH sebelum ini mendedahkan pengeluaran sayur-sayuran dijangka merosot sehingga 40 peratus mulai bulan depan susulan krisis tenaga kerja apabila kerajaan membatalkan kuota pekerja asing yang tidak digunakan sebelum 31 Mac ini.

Pada masa sama, Fuziah berkata, pihaknya mengingatkan peniaga khususnya yang menjual sayur-sayuran tidak melakukan kesalahan mencatut berikutan perkembangan terbabit.

Terdahulu, Fuziah melancarkan program Malaysia Save Food (MySaveFood) Ramadan 2024 Peringkat Kebangsaan dan meninjau Bazar Ramadan Rahmah di Jalan Raja Alang, di sini.

Sementara itu, Fuziah berkata, sepanjang seminggu penganjuran bazar Ramadan, hanya 18 aduan diterima berhubung harga makanan yang tinggi melalui Ops Pantau di seluruh negara.

Mengenai MySaveFood, Fuziah berkata, pada tahun ini sebanyak 75 bazar di 12 negeri termasuk di Wilayah Persekutuan dijangka terbabit dalam projek ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 32 bazar Ramadan termasuk empat Bazar Ramadan Rahmah sudah terbabit dalam projek ini.

Katanya, melalui projek MySaveFood pada tahun lalu, sebanyak 25 tan makanan dengan anggaran bernilai RM 281,429.01 berjaya diselamatkan dan diserahkan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

"Makanan dan minuman yang tidak terjual oleh peniaga bazar Ramadan dikumpul oleh sukarelawan GPS dan Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia untuk diagihkan kepada pelajar IPT.

"Secara keseluruhannya seramai 2,700 sukarelawan termasuk dari GPS menjadi penggerak kepada projek ini di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, gerakan Pengguna Siswa dari 35 universiti termasuk 19 universiti awam terbabit dalam program ini.

Berita Harian X