Isnin, 18 March 2024 | 5:28pm

NAFAS perlu terbabit membekal beras

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dicadang membantu kerajaan menyertai rantaian pembekalan beras dengan tawaran harga yang lebih munasabah sekali gus memecah penguasaan kartel dalam industri terbabit.

Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata syor itu dibuat berdasarkan mesyuarat yang diadakan dengan Pengerusi NAFAS, Datuk Zamri Yaakob dan wakil pertubuhan itu di peringkat kawasan serta negeri hari ini.

Beliau berkata syor itu akan dibawa ke perhatian mesyuarat NACCOL esok yang akan dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Perbincangan yang dibuat ialah macam mana kita nak terbabit secara langsung dengan industri padi dan beras supaya lebih harmoni, di mana NAFAS sebenarnya sedang melaksanakan pembekalan baja di seluruh negara kepada pesawah.

"NAFAS juga mempunyai banyak input yang lain dan mereka juga bersedia menjadi alternatif kepada pengimport beras jika BERNAS tidak bersedia untuk mendapatkan beras yang lebih kompetitif untuk menampung keperluan beras tempatan yang hanya memenuhi (tahap sara diri (SSL)) 62 peratus.

"Dalam pertemuan kita, kita juga menyebut bahawa kehilangan beras tempatan adalah disebabkan oleh pembungkusan semula oleh kartel yang ingin mendapatkan keuntungan yang berlebihan. Jadi pembabitan daripada awal dari penjanaan tanah sehingga kepada pengawal beras pengedaran beras mampu dibuat oleh NAFAS," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ketika diminta mengulas mengenai harga munasabah beras yang boleh ditawarkan oleh NAFAS kelak, Syed Abu Hussin, berkata harga yang pihaknya cadangkan adalah RM30 untuk kampit 10 kilogram (kg).

Berbekalkan kemudahan yang dimiliki NAFAS ketika ini, beliau yakin agensi itu mampu menjadi alternatif kepada Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) sebagai pengimport beras negara ini.

"Kita punya rancangan adalah NAFAS akan menjadi pembeli padi di bawah PPK (Pertubuhan Peladang Kawasan) yang ada di seluruh negara supaya padi dapat dikawal.

"Masalah sekarang ini padi ada tetapi beras tidak ada. Padi dihasilkan oleh pesawah setiap musim, dituai dan dijual kepada pengilang. Tetapi beras tak ada dalam pasaran.

"Saya difahamkan NAFAS sudah ada fasiliti sedia ada di bawah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK, ada yang mempunyai kilang, ada pusat pemberian dan juga ada lesen borong. Mereka telah pun berada dalam pasaran cuma mungkin nak tambah sahaja daripada apa yang tak ada di kawasan-kawasan yang belum ada lagi.

"Jadi kalau BERNAS tidak mampu mendapatkan harga tersebut, maka NAFAS bersedia untuk menjadi pengimport alternatif kepada beras (untuk pasaran negara)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kartel dalam industri padi dan beras negara, beliau mendakwa kegiatan itu dikepalai oleh peniaga ketika tiada pelaksanaan peraturan serta penguatkuasaan yang serius.

Ekoran situasi itu, katanya ia membuka ruang kepada peniaga terbabit untuk memanipulasi beras dalam pasaran.

"Contohnya, oleh kerana ada dua struktur harga, beras import tidak dikawal, beras tempatan dikawal. Dan beras tempatan pula, pelaksanaan, pengawasan dan kawal selia tak serius. Maka pengilang boleh kampitkan beras tempatan dan jual sebagai beras import.

"Maka itulah aktiviti yang dibuat oleh kartel dengan manipulasi pasaran untuk mendapat keuntungan yang lebih. Ia akan berlaku pada bila-bila masa jika tidak ada pengawalan dan penguatkuasaan yang cekap dan telus," katanya.

Berita Harian X