Isnin, 18 March 2024 | 1:16pm

Hanya 17 daripada 10,000 artikel akademik terbitan IPT tempatan ditarik balik

KUALA LUMPUR: Hanya 17 artikel akademik yang diterbitkan universiti terpalit dengan kontroversi dan ditarik balik daripada 10,000 penulisan yang dihasilkan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata walaupun Malaysia berada di kedudukan keenam global merangkumi kadar penarikan artikel akademik, peratusan artikel akademik yang terpalit kontroversi di negara ini tidak membimbangkan.

"Hanya 17.2 daripada 10,000 artikel akademik diterbitkan universiti yang ada di Malaysia ini membabitkan kontroversi.

"Walaupun kita di kedudukan keenam, namun dari segi angka tidak berapa membimbangkan. Kita berusaha memastikan penyelidikan ditapis sebaik mungkin terutama di peringkat universiti.

"Dari proses sebelum diterbitkan jurnal, di peringkat universiti tapis dulu dan apabila kita hantar ke peringkat penerbitan jurnal mereka juga ada tapisan," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang mahu penjelasan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengenai punca kadar penarikan balik jurnal akademik di Malaysia berada di kedudukan enam global dan adakah ia berpunca daripada kekangan kebebasan akademik di universiti.

Mengenai jurnal akademik diterbitkan dua ahli akademik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dipertikai fakta oleh seorang sejarawan Perancis berhubung sejarah pelayaran Melayu, Mustapha berkata, jurnal itu akan dikembalikan kepada pihak universiti terbabit.

Katanya, penyelidik diminta membuat tapisan terlebih dahulu ke atas jurnal berkenaan bagi menentu sah fakta terkandung dalam penyelidikan yang diterbitkan.

"Penyelidik mereka akan buat tapisan jurnal-jurnal ini dan kalau ada perkara berlaku terutama seperti yang berlaku di UPM, jurnal itu akan dikembalikan," katanya.

Sebelum ini, seorang sejarawan Perancis mendakwa dua ahli akademik dari UPM menampilkan fakta salah berkaitan sejarah pelayaran Melayu dan mempersoal kredibiliti jurnal akademik tempat ia diterbitkan.

Dalam satu catatan Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa yang mana kedua-duannya ahli akademik dari UPM sebagai penulis kertas berjudul 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13, Isu 11, 2023.

Jardin mendakwa imej yang digunakan dalam kertas mereka untuk menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar yang berasal dri Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Berita Harian X