Ahad, 17 March 2024 | 8:37pm
Mohd Na'im (dua dari kiri) dan Mesaad Ibrahim pada pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini. - Foto NSTP/ Samadi Ahmad
Mohd Na'im (dua dari kiri) dan Mesaad Ibrahim pada pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, hari ini. - Foto NSTP/ Samadi Ahmad

Ajaran Ayah Pin: JAKIM, JHEAT diarah lakukan siasatan

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi melakukan siasatan cubaan pihak tertentu untuk menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata, pihaknya mahu memastikan supaya rakyat sentiasa berwaspada dan sedar mengenai ajaran sesat itu, selain mengadakan pendekatan dengan memberi maklumat bahawa ajaran Ayah Pin sudah difatwakan sebagai sesat.

Beliau berkata, JAKIM, JHEAT dan pihak polis akan memantau aktiviti itu dan menasihati rakyat untuk berhati-hati supaya tidak terbabit dengan ajaran sesat berkenaan.

"Setakat ini, kita belum menerima sebarang laporan berhubung perkara itu dan berharap mana-mana individu yang mempunyai maklumat untuk membuat laporan kepada pihak berwajib supaya siasatan dapat dijalankan.

"Kita tidak mahu ajaran sesat ini berkembang semula dan daripada awal lagi akan pastikan ia dibendung supaya masyarakat tidak terpengaruh," katanya selepas pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Dr Zulkifli Hasan dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim.

Program anjuran kerajaan Arab Saudi itu menyumbang sejumlah al-Quran dan kurma untuk iftar di masjid dan surau di negara ini yang diadakan sejak 24 tahun lalu.

Media sebelum ini melaporkan, terdapat cubaan pihak tertentu menghidupkan semula ajaran sesat Ayah Pin yang pernah menggemparkan negara dengan 'Kerajaan Langit'.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, dilaporkan berkata, dakwaan cubaan menghidupkan semula ajaran sesat itu di sekitar Besut dan perkara terbabit sedang dalam tindakan pihak berkuasa.

Sebelum ini, sebuah hantaran di akaun Facebook 'Imam Muda Kulan' mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 1997 mengeluarkan fatwa bahawa ajaran itu sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

Berita Harian X