Ahad, 17 March 2024 | 5:58pm
Dr Muhammad Shazril menyangkal trend makan kurma mentega tidak sihat untuk kesihatan, selain menasihati supaya pengambilannya dibuat secara sederhana. - Foto hiasan
Dr Muhammad Shazril menyangkal trend makan kurma mentega tidak sihat untuk kesihatan, selain menasihati supaya pengambilannya dibuat secara sederhana. - Foto hiasan

'Kurma mentega ok untuk kesihatan'

KUALA LUMPUR: Pempengaruh, Dr Muhammad Shazril Shaharuddin menyangkal trend makan kurma mentega tidak sihat untuk kesihatan, selain menasihati supaya pengambilannya dibuat secara sederhana.

Doktor selebriti itu menerusi muat naik di Instagram kelmarin, memaklumkan mentega tergolong sebagai lemak tepu yang boleh meningkatkan risiko penyakit jantung dan tahap kolesterol jahat.

Namun, katanya, badan manusia memerlukan lemak tepu yang penting bagi penghasilan hormon, terutama testosteron, selain meningkatkan tahap kolesterol baik dalam darah.

Beliau yang mesra disapa Dr Say berkata, lemak tepu juga kebanyakannya datang daripada sumber haiwan, antaranya daging lembu, ayam dengan kulitnya, kambing, keju, kuning telur dan minyak kelapa sawit.

"Makan kurma dengan mentega ok saja untuk kesihatan, cuma ia jadi sebaliknya jika dimakan secara berlebihan. (Kalori) sebiji kurma mentega bersamaan sesenduk nasi.

"(Ketika berbuka puasa) mesti kita tak makan sebiji saja, tetapi tiga kurma mentega. Jadi dah berapa kalori dekat situ, berpada-padalah. Lagipun kurma mentega adalah sunah (dan antara) makanan kesukaan Rasulullah SAW.

"Jadi ingat, berpada-padalah dalam apa juga yang kita makan. Malah, minum air kosong berlebihan pun boleh memudaratkan. Ingatlah untuk bersederhana," katanya.

Dalam muat naik sama, beliau turut memperincikan empat kategori lemak, selain memaklumkan fungsinya untuk membekalkan tenaga, penebat haba dan penghasilan hormon.

Antaranya ialah lemak monotaktepu yang boleh didapati daripada minyak zaitun, badam, biji gajus dan avokado, manakala lemak politaktepu, boleh terhasil menerusi tuna, salmon, sardin dan minyak jagung.

Selain itu, lemak trans atau dikenali sebagai paling buruk dan perlu dielakkan kerana boleh meningkatkan kolesterol jahat serta menurunkan kolesterol baik dengan ia boleh didapati melalui produk sedia dimakan seperti biskut, kek, donat, mufin, makanan bergoreng, makanan ringan dan marjerin.

Berita Harian X