Ahad, 17 March 2024 | 4:28pm
Empangan Muda.
Empangan Muda.

Cuaca panas: Paras empangan di Kedah menurun

ALOR SETAR: Kadar takungan air di tiga empangan utama negeri ini mencatatkan penurunan, namun masih berada pada paras selesa bagi menampung keperluan aktiviti tanaman padi dan kegunaan domestik sepanjang fenomena cuaca panas atau El Nino.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dalam kenyataan, berkata sehingga hari ini takungan di Empangan Pedu mencatatkan bacaan 71.43 peratus, Empangan Muda (47 peratus) dan Empangan Ahning (91.56 peratus).

Pada Khamis lalu, kadar takungan air di Empangan Pedu mencatatkan 71.84 peratus, Empangan Muda (49.3 peratus) dan Empangan Ahning (91.83 peratus).

"Ketika ini, status kemajuan aktiviti tanaman padi bagi musim 2/2023 adalah di peringkat penuaian di mana 77.3 peratus di kawasan Muda sudah dituai.

"Oleh itu, penggunaan air untuk tujuan pengairan adalah pada tahap minimum," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, biarpun jumlah takungan air di empangan sedikit berkurangan, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia masih memuaskan untuk permulaan aktiviti tanaman padi bagi musim 1/2024 yang bermula April depan.

Katanya, untuk rekod jumlah turunan hujan di Kawasan Muda sehingga semalam mencatatkan bacaan lebih rendah iaitu sebanyak 59 milimeter (mm) berbanding jumlah purata turunan hujan 20 tahun iaitu 164 mm.

"Bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berterusan sehingga Jun ini, pihak MADA mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan tindakan segera dengan memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan.

"Selain itu, MADA turut menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman sehingga aktiviti musim dua 2023 selesai sepenuhnya pada penghujung bulan ini," katanya.

Golongan petani dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.

Berita Harian X