Ahad, 17 March 2024 | 3:11pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. - Foto BERNAMA

'Tanggungjawab KDN, KESUMA banteras penguasaan warga asing dalam industri sayur'

KUCHING: Isu penguasaan warga asing dalam rantaian perbekalan sayur-sayuran perlu ditangani Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata undang-undang berkaitan berada dalam bidang kuasa dua kementerian terbabit.

Justeru katanya, sebarang usaha untuk menangani isu berkaitan harus dirujuk dengan dua kementerian terbabit

"Kalau mengikut prosedur sedia ada, macam itulah (rujuk dengan KDN dan KESUMA)," katanya ketika ditemui selepas Program Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al Hidayah, Taman Sejoli, Petra Jaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan eksklusif BH Ahad hari ini mengenai rantaian perbekalan sayur-sayuran di negara ini didakwa mula dikuasai pendatang asing.

Warga asing itu dipercayai memperluaskan kebun yang diusahakan secara haram dengan saiz keseluruhan kini dikatakan mencecah hampir 1,000 hektar.

Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia mendedahkan hasil pemantauan dan risikan melalui ahlinya di seluruh negara, kegiatan itu dikenal pasti aktif sejak lima tahun lalu.

Pendatang asing kalangan warga Indonesia, Bangladesh serta etnik Rohingya didakwa membina rangkaian dari peringkat kebun hinggalah jualan di lot niaga beberapa pasar borong utama di Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur-Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee dilaporkan berkata, berikutan penguasaan warga asing itu pendapatan lebih 2,000 ahli mereka terjejas.

Menurutnya, kegiatan warga asing itu berlaku di Semenanjung dengan paling banyak di Selangor, Johor, Melaka, Pulau Pinang dan Pahang khususnya di Cameron Highlands.

Kebanyakan kawasan kebun sayur-sayuran warga asing itu terletak di kawasan terpencil terutamanya dalam ladang kelapa sawit dan hutan yang diceroboh.

Berita Harian X