Ahad, 17 March 2024 | 2:46pm
Aida Nasuha Mohd Sabri, 21 (dua kanan) dan Nor Alia Sofiana Mat Jais, 18 (dua kiri) menjual pelbagai jenis kuih muih pada Ramadan ketika tinjauan di bazar Ramadan Batu Enam, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Aida Nasuha Mohd Sabri, 21 (dua kanan) dan Nor Alia Sofiana Mat Jais, 18 (dua kiri) menjual pelbagai jenis kuih muih pada Ramadan ketika tinjauan di bazar Ramadan Batu Enam, Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori

Bazar Ramadan bantu perkasa ekonomi umat Islam

KUALA LUMPUR: Pembukaan bazar Ramadan yang menjual aneka juadah berbuka puasa perlu dilihat daripada sudut positif dalam mengangkat ekonomi umat Islam di negara ini.

Bekas Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata selain memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa, bazar Ramadan juga memudahkan umat Islam membeli makanan untuk disedekahkan.

Katanya, beliau tidak nampak bagaimana bazar Ramadan itu dilihat menyimpang daripada konsep menghidupkan Ramadan dengan ibadah.

"Amalan berniaga ini adalah satu yang digalakkan dalam Islam dan kita kena melihat perkara ini dari sudut yang positif, walaupun ada bazar Ramadan besar yang menjual makanan yang banyak dan mewah.

"Namun, saya suka mengingatkan umat Islam jangan membazir atau mengambil pendekatan berlebih-lebihan ketika berbelanja, sebaliknya tumpukan sikap berlebih-lebihan kepada pemberian sedekah," katanya kepada BH.

Beliau mengulas aliran pembukaan bazar Ramadan yang luas membabitkan peniaga ramai di seluruh negara.

Abdul Rahman berkata, kehadiran orang ramai di bazar Ramadan satu yang baik bagi meningkatkan ekonomi negara dan ia wajar digalakkan.

Katanya, peniaga juga diingatkan bukan mengambil kesempatan menaikkan harga barang bagi mengaut keuntungan semata-mata.

"Peniaga juga perlu jadikan jualan di bazar Ramadan ini sebagai ruang dan peluang untuk membuat sedekah.

"Jadikan sedekah ini sebagai amalan bagi menolak unsur yang tidak baik dalam berniaga," katanya.

Berita Harian X